
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mahu Nawawi memohon ampun kepada Agong dengan segera kerana merujuk baginda sebagai ‘Malaysian Official 1’ (MO1).
“Agong seorang yang lemah lembut dan berbudi bahasa. Bukannya tiga suku macam Nawawi.
“Sebagai rakyat Malaysia dan anak negeri Kedah, jika Nawawi seorang yang beradab, beliau perlu mohon ampun kepada Agong tanpa tunggu titah Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selasa lalu, Nawawi memuat naik status di laman Facebooknya menyatakan Yang di-Pertuan Agong ialah MO1 bertanggungjawab terhadap kerajaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Nawawi kemudiannya menafikan dakwaan itu dengan menegaskan beliau sekadar memberi tafsiran sendiri mengenai Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pemimpin nombor satu Malaysia ialah Agong.
Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat dalam laporannya bulan lalu mendakwa seorang MO1 yang tidak dinamakan didakwa menerima AS$731 juta yang diseleweng daripada dana 1MDB.
Menurut maklumat yang diberikan DOJ, MO1 adalah “pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang turut mempunyai kedudukan berkuasa dalam 1MDB” dan individu itu adalah saudara kepada anak tiri perdana menteri, Riza Aziz.
Mahfuz berkata, Nawawi juga perlu memohon maaf kepada rakyat atas kenyataan berbaur hasutan yang dimuat naik ke Facebooknya sebelum ini.
“Jangan anggap dengan mengatakan kamu tidak bersalah dan untuk apa nak minta maaf. Kamu sudah menghasut rakyat untuk membenci Yang di-Pertuan Agong.
“Kamu jangan angkuh dan sombong dengan rakyat. Kamu dipilih rakyat. Jangan biadap dan kurang ajar kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat,” kata bekas ketua penerangan PAS itu.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan Nawawi akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya itu, susulan beberapa laporan yang diterima polis.
Nawawi turut membuat laporan polis pada Jumaat lalu mendakwa kenyataannya diputar belit.
Pautan: