Amaran Amnesty: Akta MKN beri Malaysia ‘salah guna kuasa’

Amaran Amnesty: Akta MKN beri Malaysia ‘salah guna kuasa’

Badan hak asasi manusia itu berkata undang-undang berkenaan “memperkasakan pihak berkuasa Malaysia untuk memijak hak asasi manusia dan boleh bertindak tanpa dikenakan hukuman."

Josef-Benedict,-AI
KUALA LUMPUR :Amnesty International memberi amaran undang-undang keselamatan Malaysia yang memberikan kuasa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengisytiharkan darurat, berkuat kuasa hari ini, mungkin akan digunakan untuk memijak hak asasi manusia.

Mengikut Akta Majlis Keselamatan Negara, satu majlis yang diketuai Najib, yang berdepan tekanan supaya meletakkan jawatan susulan skandal kewangan, boleh mengisytiharkan sesuatu kawasan di bawah ancaman keselamatan.

Pasukan keselamatan kemudian boleh mengenakan perintah berkurung dan ada kuasa luas untuk menangkap, menggeledah dan merampas tanpa waran.

Undang-undang itu menyasarkan untuk mengawal ancaman keganasan, tetapi pengkritik bimbang Najib akan menggunakannya sebagai alat bagi terus berpegang pada kuasa.

Amnesty berkata undang-undang itu “memperkasakan pihak berkuasa Malaysia untuk memijak hak asasi manusia dan boleh bertindak tanpa dikenakan hukuman”.

“Dengan undang-undang baharu ini, kerajaan kini boleh melakukan pemeriksaan dan diandaikan berpotensi untuk salah guna kuasa,” kata Timbalan Pengarah Amnesty bagi Asia Tenggara dan Pasifik Josef Benedict dalam satu kenyataan.

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata Najib dan kerajaannya semakin kerap menggunakan undang-undang yang menindas atas alasan melindungi keselamatan negara “tetapi secara praktisnya, membahayakan hak asasi manusia”.

Akta MKN yang berkuat kuasa pada hari ini juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.

Parti pemerintah menyokong undang-undang itu sebagai cara menangani soal keselamatan di negara majoriti Islam itu, yang sudah lama berdepan dengan sekumpulan kecil Islamis radikal.

Akta itu diluluskan pada sesi Parlimen Disember lalu pada waktu Najib dibidas pembangkang berhubung skandal berbilion ringgit melibatkan 1MDB, syarikat yang diilhamkan beliau sendiri.

Akta itu bagaimanapun diluluskan tanpa mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong, walaupun istana pernah mencadangkan beberapa perubahan.

Tekanan ke atas Najib meningkat minggu lepas selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman yang mendakwa salah laku bernilai AS$$3.5 bilion melibatkan 1MDB.

Saman itu bertujuan menyita aset yang didakwa dilesapkan daripada 1MDB sebanyak AS$1 bilion dan dianggap penyiasat AS sebahagian “konspirasi antarabangsa mengubah wang”.

Saman itu tidak menamakan Najib, tetapi sekadar memberi jolokan “Malaysian Official 1” yang dituduh menerima AS$700 juta daripada wang yang dilesapkan.

Najib yang menafikan terlibat berkata Malaysia akan bekerjasama dengan mana-mana siasatan antarabangsa ke atas 1MDB.

Pejabat serantau hak asasi manusia PBB pada minggu lalu juga berkata ia sangat bimbang yang undang-undang itu mungkin menggalakkan pelanggaran hak asasi manusia dan membawa kepada “sekatan tidak adil” terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.