DAP batal hasrat adakan pilihan raya awal di Pulau Pinang

DAP batal hasrat adakan pilihan raya awal di Pulau Pinang

Ia disebabkan pucuk pimpinan PKR tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan pilihan raya awal di negeri itu.

lim-guan-eng
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan pilihan raya mengejut tidak akan diadakan memandangkan PKR tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Lim Guan Eng berkata, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam memaklumkan kepada beliau berhubung keputusan pucuk pimpinan parti itu.

“Selepas makluman daripada beliau, saya mengadakan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin negeri dan juga nasional dan mereka setuju DAP tidak akan meneruskan cadangan tersebut,” kata Setiausaha Agung DAP itu dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Pada 20 Julai lalu, Lim berkata, DAP tidak akan membuat keputusan bersendirian berhubung cadangan mengadakan pilihan raya awal.

Sebaliknya, DAP akan meneruskan perbincangan dengan rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan dan memberi masa secukupnya kepada mereka untuk membuat pertimbangan.

Sebelum ini, Lim mengumumkan Amanah bersetuju menyokong pilihan raya awal diadakan di negeri itu.

“Saya diberitahu Mat Sabu bahawa mereka akan menyokong cadangan PRN dan kini hanya menunggu keputusan daripada PKR,” katanya.

Baru-baru ini, media tempatan memetik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy sebagai berkata, DAP menyenaraikan dua pilihan sebagai respons terhadap dua tuduhan rasuah yang dihadapi Lim.

Pilihan pertama ialah mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengetahui respons rakyat di negeri itu terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas Lim dan pilihan kedua ialah menunggu pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan sebelum Ogos 2018.

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dengan DAP menguasai 19 kerusi, PKR 10, Barisan Nasional 10 dan PAS 1.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.