Sukma tidak sepopular dulu?

Sukma tidak sepopular dulu?

Tinjauan mendapati tidak ramai yang bercakap tentang Sukma kali ini dan ia tidak menjadi ‘trending’ dalam kalangan masyarakat kini.

sukma

KUALA LUMPUR:
Tahukah anda Sukma (Sukan Malaysia) tahun ini berlangsung di Sarawak? Bagaimana dengan edisi sebelum ini, masih ingat negeri penganjurnya?

Tinjauan mendapati tidak ramai yang bercakap tentang Sukma kali ini, apatah lagi ‘berperang’ negeri mana yang sedang mendahului kutipan pingat.

Bekas jaguh lompat jauh dan lompat kijang negara Zaki Sadri mengakui keadaan itu dan berkata kerajaan patut melihat kaedah untuk memperbaikinya bagi edisi akan datang.

“Saya sendiri dapat rasakan ketika ke Sukma beberapa tahun lalu, jelas terasa kehambarannya. Sedangkan ketika era 1980-an dan 1990-an, stadium jadi seperti pesta.

“Begitu juga dengan liputan di media massa, hanya RTM1 yang siarkan secara langsung dan itu pun semakin berkurang. Ini juga salah satu sebab mengapa makin kurang masyarakat yang betul-betul mengikutinya,” kata pemenang lapan pingat emas Sukan SEA itu ketika dihubungi.

Zaki berkata beliau berharap kejayaan atlet Melaka Khairul Hafiz Jantan yang memecahkan rekod 100 meter kebangsaan yang dipegang Watson Nyambek selama 18 tahun dalam temasya itu mampu sedikit sebanyak menarik perhatian ramai terhadap kejohanan dwitahunan itu.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2011 Mohd Ikhwan Nor pula berkata sebahagian acara balapan dan padang – kategori yang sering menjadi perhatian, juga tidak mendapat penyertaan penuh dari setiap negeri.

“Sepatutnya setiap negeri hantar dua wakil untuk setiap acara, seperti ketika saya aktif dulu. Tetapi kini ada acara yang tidak mendapat penyertaan penuh, bermakna tidak ramai atlet yang benar-benar komited,” katanya ketika dihubungi.

Sukma dianjurkan buat kali pertama pada 1986 di Kuala Lumpur dan dilihat sebagai medan mencungkil bakat baru yang bakal mewakili negara di pentas antarabangsa.

Selain Khairul Hafiz, antara atlet lain yang turut berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada kejohanan kali ini ialah dua atlet memanah iaitu Farah Amalina Azhar (Kedah) dalam acara 30m recurve wanita dan M Khambeswaran (Pulau Pinang) dalam acara 30m compound lelaki.

Mengulas isu ini, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Abdul Jalil Abdullah berkata Sukma masih lagi popular di kalangan masyarakat, terutama bagi acara kegemaran ramai.

“Namun secara keseluruhan sedikit merosot. Untuk edisi kali ini, mungkin kerana ia tidak dianjurkan ketika musim cuti sekolah, maka tidak ramai yang boleh hadir menonton.

“Sukma masih relevan dan kompetitif. Bagi edisi kali ini, banyak rekod kebangsaan yang berjaya dipecahkan,” katanya yang turut memuji komitmen sesetengah negeri yang memperuntukkan dana besar sehingga RM5 juta untuk menyertainya.

Namun beliau tidak menafikan ada ruang yang boleh diperbaiki, termasuk tarikh penganjuran, agar lebih ramai dapat hadir ke stadium sepanjang kejohanan berlangsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.