Isu pukul pelajar: Bebanan tugas punca cikgu amuk

Isu pukul pelajar: Bebanan tugas punca cikgu amuk

Gangguan personaliti wujud apabila individu mengalami gangguan peribadi meliputi keraguan tidak berasas atas sesuatu perkara, lalu menjurus kepada kekasaran terhadap pelajar.

ustaz_rotan_600
PETALING JAYA:
Kejadian kes tiga pelajar sebuah maahad tahfiz dipukul ustaz mereka berusia 27 tahun baru-baru ini menjadi isu bualan masyarakat.

Pakar psikologi dan konsultan pengurusan emosi Dr Dini Rahiah Kadir berkata antara punca guru bertindak keterlaluan mungkin disebabkan bebanan kerja yang terlalu banyak.

“Tanggungjawab berat dan tuntutan masyarakat terhadap guru mungkin membuatkan mereka hilang sabar. Adakala, guru juga mengalami status emosi tidak stabil.

“Dari sudut psikologi, seseorang akan melakukan apa saja apabila emosinya tidak dapat dikawal,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata gangguan personaliti akan wujud sekiranya individu tersebut mengalami gangguan keperibadian meliputi keraguan tidak berasas atas sesuatu perkara lalu menjurus kepada kekasaran terhadap pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim mengakui cabaran bergelar guru masa kini lebih besar berbanding dulu.

“Perlu diingatkan tanggungjawab seorang guru mendidik dan dalam masa sama melindungi pelajar. Mereka perlu tahu seimbangkan kedua-duanya tanpa perlu berkasar,” katanya dan meminta graduan yang memohon menjadi guru perlu meminati bidang itu.

Melihat kepada situasi pukul pelajar kerap berlaku di sekolah luar bandar, Azimah berharap ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah anak dan tidak bergantung sepenuhnya kepada guru.

“Sekolah di bandar atau luar bandar, ibu bapa usah lepas tangan dalam hal mendidik anak. Adakah hukuman rotan mampu mendidik generasi muda pada masa kini? Mentaliti mereka dikuasai teknologi yang tidak mampu dikawal lagi,” katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata penggunaan rotan pada masa kini ibarat mencurah air ke daun keladi.

“Generasi hari ini terima nasihat dalam cara santai. Kita sebagai pendidik kena ubah ikut sedap telinga mereka mendengar. Penyelesaian boleh dibuat dengan pelbagai cara, bukan diakhiri dengan kekerasan,” katanya.

Berpengalaman selama 26 tahun sebagai guru disiplin, Stanley Nyanaprakasan berkata beliau tidak nampak penggunaan rotan sebagai alternatif terbaik untuk mendidik pelajar.

“Salah seorang pelajar pernah panggil saya ‘anjing’. Kalau ikut emosi, saya memang hilang sabar tetapi saya berfikir secara waras. Dia hanya pelajar dan belum cukup matang dan tugas saya sebagai guru untuk membentuknya,” katanya.

Katanya, soal keruntuhan akhlak di kalangan pelajar merupakan cabaran buat guru dalam mendidik mereka supaya terus berada di landasan betul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.