
Portal berita itu berkata Tan Kok Leong, 50, disabitkan kesalahan bulan lepas kerana memberi ubat pelemah, Dormicum dan Rosiden kepada mangsa, juga seorang doktor, di Hotel Oasia pada Julai 2013 selepas prosedur ‘liposuction’ atau menyedut lemak.
Menurut laporan itu, Tan didapati bersalah mencabul kehormatan mangsa selama dua malam, setelah memberi ubat pelemah kepada pesakit berusia 33 tahun itu dengan alasan untuk melegakan rasa sakit.
Memetik Hakim Daerah Siva Shanmugam, portal itu berkata Tan “menyalahgunakan kedudukannya dengan mengambil kesempatan daripada kepercayaan mangsa terhadapnya”, berikutan hubungan unik antara mereka, doktor-pesakit dan mangsa, seorang doktor muda, juga menganggap Tan sebagai mentornya.
Tan memberi ubat berkenaan kepada mangsa hingga menyebabkan lelaki itu menjadi rentan dan tidak berdaya mempertahankan diri daripadanya; membogelkan mangsa untuk merakam lebih 20 gambar alat sulitnya tanpa pengetahuan atau keizinan mangsa.
Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu setelah mencabul kehormatan mangsa yang tidak sedarkan diri, Tan memakaikan kembali pakaiannya agar apabila tersedar, mangsa tidak menyedari apa yang dilakukan tertuduh terhadapnya.
Menurut laporan itu, pihak pendakwa yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Alan Loh dan Pembantu Pendakwa Raya Thiagesh Sukumaran mendesak mahkamah mengenakan hukuman penjara lima tahun lapan bulan terhadap Tan.
Bagaimanapun, sebaik saja hukuman terhadap Tan dibacakan, peguamnya Edmond Pereira memberitahu mahkamah anak guamnya akan mengemukakan rayuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Laporan itu berkata Tan dibenarkan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya.