Pengarah Pusat Pengajian Timur Tengah Universiti Denver Nader Hashemi berkata Malaysia pada satu ketika merupakan “suar harapan” dunia Islam dan diharap memainkan peranan penting dalam perang melawan pelampau agama sekiranya Malaysia membangunkan ciri-ciri itu.
Bercakap di wacana “Krisis ISIS dan Penularan Islam Radikal” di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini, Hashemi memberi penghormatan kepada Malaysia era 1990an, dengan berkata negara pada ketika itu dilihat menuju kearah contoh bagaimana demokrasi dapat dizahirkan dalam sebuah negara Islam, terutamanya dari segi mengiktiraf hak golongan minoriti.
“Sekarang dunia perhatikan Malaysia dan tertanya-tanya kemana perginya suar yang diharapkan itu?” soalnya.
Dalam menjawab jalan cerita pelampau Islam, beliau menegaskan pentingnya untuk dunia menjadi saksi kepada contoh negara Islam yang mempunyai demokrasi yang berfungsi.
“Kita perlukan contoh-contoh negara Islam tercontoh ini,” katanya. “Malaysia punya potensi untuk dicontohi sekali lagi tetapi ia perlu melakukan baikpulih terlebih dahulu.”
Bercakap mengenai kumpulan pengganas IS, Hashemi berkata dasar-dasar gerakan itu mirip amalan rejim wahabi Arab Saudi.
“Bezanya cuma wahabis menganjurkan menghormati monarki manakala IS pula menolak monarki,” katanya. “Namun begitu dari segi menghina wanita, hak asasi manusia dan hak golongan minoriti, mereka sama sahaja.”
Beliau berkata tafsiran wahabi menular selepas penemuan minyak di Arab Saudi.
“Tafsiran itulah mengapa anak muda di negara-negara lain, termasuk Malaysia, mendengar IS kerana menyedari anjuran IS mirip tafsiran Islam yang dipelajari daripada kitab-kitab dari Arab Saudi.”
Beliau berkata tafsiran wahabi lebih lantang berbanding tafsiran Islam lain kerana Arab Saudi melaburkan banyak wang bagi menjadikan ia mudah didapati.
“Semasa Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, Arab Saudi membelanjakan kira-kira AS$ 100 bilion (RM406 bilion) untuk menyebarkan tafsiran itu,” tambahnya.
