Najib: MKN bukan darurat, Agong masih berkuasa

Najib: MKN bukan darurat, Agong masih berkuasa

Najib mempertahankan beberapa akta drastik dan berkata ia atas permintaan pasukan keselamatan.

najib-nsc-act-2

KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mula berkuat kuasa 1 Ogos ini sengaja disalah tafsir.

“Ia tidak sama seperti pengisytiharan darurat di seluruh negara  bahawa kuasa kekal di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  dan Parlimen masih bersidang dengan mengawasi mana-mana kawasan keselamatan yang diisytiharkan,” kata Najib dipetik Bernama dalam blognya.

Beliau mengulas kritikan terhadap undang-undang itu, yang antara lain membenarkan kerajaan mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai “zon keselamatan” dengan kuasa memeriksa mana-mana individu atau premis tanpa waran.

Akta MKN diluluskan pada sesi Parlimen Disember lalu di kala Najib dibidas pembangkang berhubung skandal berbilion ringgit melibatkan 1MDB.

Akta itu bagaimanapun diluluskan tanpa mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong, walaupun istana pernah mencadangkan beberapa perubahan.

Najib mempertahankan tindakan kerajaan dengan merujuk serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, Jun lalu, yang menurut polis ada kaitan dengan kumpulan militan IS.

“Kerajaan saya tidak akan meminta maaf kerana lebih mendahulukan keselamatan
dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya, undang-undang diperkenalkan atas permintaan pasukan keselamatan.

“Undang-undang ini adalah perlu, dan negara-negara lain sejak itu telah
mengikut jejak langkah kita,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang dan badan sivil melahirkan kebimbangan Akta MKN itu akan digunakan bagi mengekang kritikan berkenaan 1MDB, yang berdepan dengan tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mahu menyita aset bernilai AS$1 bilion susulan dakwaan kecurian wang dan salah guna dana.

“Kebimbangan di kalangan badan sivil dan lain-lain ialah MKN boleh digunakan bagi menentang apa-apa sahaja yang kerajaan tidak puas hati,” kata Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), dipetik Reuters semalam.

Katanya Akta itu boleh digunakan ketika perhimpunan jalanan.

“Ia memang memberikan kuasa penuh kepada PM mengisytiharkan zon darurat…,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.