Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu hari ini memuatnaik catatan di Facebook yang berbunyi: “Adakalanya kita tertanya-tanya kawan jenis apa disamping kita. Bila mana mereka berdepan krisis, kita sokong mereka sepenuhnya, dalam apa jua keadaan.
“Tetapi, bila kita pula yang perlukan sokongan, mereka bocorkan semua cerita kepada media terlebih dahulu, habis telanjang bogel kita dibuatnya. Atau mengumumkan keputusan mereka kepada seluruh dunia sebelum kami diberitahu. Kawan seperti itu…”
Meskipun Tony tidak menamakan sesiapa, catatan itu dipercayai ditujukan kepada PKR yang semalam mengumumkan mereka belum cukup yakin dengan semua alasan untuk mengadakan pilihan raya kilat di Pulau Pinang.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat komprehensif yang turut mengambil kira pandangan daripada kumpulan kumpulan masyarakat madani. Beliau menambah PKR akan menghantar perwakilan untuk bertemu kepimpinan DAP bagi menjelaskan pendirian itu.
Kawan dikala krisis yang disebut Tony itu dipercayai merujuk kepada sokongan DAP yang diberikan kepada PKR sepanjang gerakan Langkah Kajang dan krisis Menteri Besar Selangor pada 2014.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan skandal rasuah bertegas mahu mengadakan pilihan raya negeri baru dengan tujuan untuk mendapatkan mandat baharu untuk pentadbirannya.
Guan Eng berkata satu lagi parti dalam PH, iaitu Amanah, menyokong langkah itu, tetapi PKR tetap membantah, meskipun kepimpinan kedua parti sudah bertemu dan berbincang beberapa kali untuk menyelesaikan perkara itu.
