Tabung Haji untung beli tanah 1MDB, kata Najib

Tabung Haji untung beli tanah 1MDB, kata Najib

Najib mendakwa nilai tanah itu naik RM400 kaki persegi namun pembelian menguntungkan ini dipolitikkan sesetengah pihak.

najib_tabung-haji_new_600

PETALING JAYA:
Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan minat ditunjukkan pembeli terhadap tanah 0.631 hektar milik Lembaga Tabung Haji (TH) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM400 lebih tinggi kaki persegi daripada harga pembelian.

Susulan itu, perdana menteri berkata nilai pelaburan TH di TRX menguntungkan.

Beliau mempersoalkan kritikan terhadap TH ketika pembelian itu dilaporkan tahun lalu.

“Saya tanya CEO berapa harga tanah yang dibeli TH dengan nilai RM1,800 sekaki persegi itu, CEO kata orang nak beli tanah kepunyaan TH dengan nilai RM2,200 kaki persegi.

“Maknanya dah untung. Yang jadi masalah ia dipolitikkan oleh sesetengah pihak,” kata Najib pada majlis pelancaran Yayasan TH di Kelana Jaya, hari ini.

TH membeli tanah tersebut daripada 1MDB pada 2015, di sebalik kritikan ia merupakan usaha menyelamatkan syarikat kontroversi milik Kementerian Kewangan itu.

Kritikan berkisar perbezaan harga yang dibayar TH kerana 1MDB membeli tanah itu daripada kerajaan hanya pada RM64 sekaki persegi pada 2011.

Seusai majlis pelancaran, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Johan Abdullah berkata kepada pemberita TH bertegas tidak akan menjual tanah tersebut memandangkan ia mempunyai nilai tambahan yang tinggi bagi tempoh jangka masa panjang.

“Sekarang juga kita ada tawaran yang tinggi tetapi kita tidak mahu menjualnya kerana kami percaya dengan penghasilan nilai jangka panjang daripada pelaburan itu,” katanya.

Sementara itu, Johan enggan mengulas dakwaan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengenai kontrak RM740 juta untuk menyelamatkan anak syarikat, TH Heavy Engineering Berhad (THHE), yang didakwa muflis.

“Pelaburan itu ialah pelaburan dalam sebuah syarikat yang tersenarai, kita kena ikuti daripada apa-apa perkembangan syarikat tersebut. Kita tidak boleh komen panjang mengenai ini.

“Saya difahamkan syarikat tersebut akan membuat satu pengumuman dalam masa terdekat, kerana ia merupakan sebuah syarikat yang tersenarai dalam bursa. Jadi pendedahan itu akan dibuat oleh syarikat,” katanya.

Rafizi mendakwa kedudukan kewangan THHE yang bertambah buruk terbukti apabila nilai saham THHE jatuh ke paras 6.5 sen minggu lalu, menyebabkan kerugian atas kertas sebanyak RM228 juta, serta pinjaman patuh shariah dalam bentuk terbitan sukuk sebanyak RM50 juta, di samping pinjaman terbitan hutang dalam bentuk “redeemable preference shares” (RPS) sebanyak RM275 juta.

Rafizi mempersoalkan penganugerahan kontrak RM740 juta itu kerana THHE merupakan sebuah syarikat tersenarai dan hanya 30% dimiliki TH.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.