Maria Chin sahkan ‘Bersih 5’ dalam perancangan

Maria Chin sahkan ‘Bersih 5’ dalam perancangan

Bersih berkata perlu berunding dengan NGO lain terlebih dahulu sebelum membuat keputusan

maria-chin
PUTRAJAYA: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tidak menolak kemungkinan menganjurkan perhimpunan selepas perkembangan terkini isu skandal 1MDB.

Pengerusinya Maria Chin Abdullah berkata ia perlu berbincang dengan pelbagai NGO terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Cara Bersih adalah kami perlu berunding dengan NGO-NGO lain terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Namun ia sememangnya dalam agenda,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dua hari lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman bagi menyita aset-aset yang terbabit dalam dan boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB.

Semalam, Pakatan Harapan membayangkan akan mengadakan perhimpunan pada 30 Julai jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengambil cuti susulan perkembangan di AS itu.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut mencadangkan rakyat Malaysia turun ke jalan raya bagi mendesak Najib meletakkan jawatan.

Maria hari ini berkata Bersih mengalu-aluka Dr Mahathir turut serta dalam perhimpunan jika diadakan.

Maria juga berkata kes 1MDB tidak boleh disamakan dengan kes dakwaan rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Jika kita dapat memastikan kes tersebut akan diputuskan secara adil, maka beliau memang perlu mengambil cuti. Ia berbeza dengan kes 1MDB yang merupakan satu rasuah besar.

“Walaupun Jabatan Kehakiman mengambil tindakan sivil, jika anda membaca dokumen tersebut anda akan dapati ia adalah satu jenayah, anda mencuri wang daripada 1MDB dan berpakat dengan Peguam Negara untuk mengatakan tiada apa kesalahan berlaku,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.