Kesatuan wartawan tidak sangka akhbar malapkan terus berita 1MDB

Kesatuan wartawan tidak sangka akhbar malapkan terus berita 1MDB

Presiden NUJ menjangkakan akhbar cetak sekurang-kurangnya akan 'melembutkan' laporan mengenai langkah Jabatan Kehakiman AS ke atas aset berkait 1MDB

NUJ
PETALING JAYA: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hari ini berkata ia menjangkakan akhbar harian versi cetak sekurang-kurangnya akan melembutkan laporan mengenai langkah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap 1MDB dan bukan bertindak tidak langsung melaporkannya.

Bagaimanapun, Presiden NUJ, Chin Sung Chew, berkata beliau tidak hairan laporan itu tidak diterbitkan semalam.

“Akhbar Melayu dari aliran arus perdana semua dikuasai oleh Umno,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, akhbar cetak utama seperti New Straits Times (NST), The Star, Sinar Harian, Utusan Malaysia, Malay Mail Berita Harian gagal melaporkan berita Jabatan Kehakiman AS mahu menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion.

Ketika dihubungi semalam, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid memberitahu FMT pihaknya tidak sempat memuatkan berita itu kerana ia diterima kira-kira jam 11.30 malam ketika akhbar sudah dihantar untuk dicetak.

Tinjauan FMT bagaimanapun mendapati berita itu sudah dimuat naik Reuters seawal 8.50 malam, manakala AFP melaporkannya pada 10.34 malam.

Saman yang difailkan Jabatan Kehakiman AS di Los Angeles itu bertujuan merampas aset yang “terbabit dalam dan boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.

Ia turut menamakan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, kerana dituduh menggunakan dana 1MDB sebanyak RM256 juta.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.