Ke mana hilang? Akhbar Malaysia tidak lapor AS sita aset 1MDB

Ke mana hilang? Akhbar Malaysia tidak lapor AS sita aset 1MDB

Kesemua akhbar harian utama di Malaysia gagal melaporkan berita itu walaupun mendapat liputan luas media antarabangsa.

1mdb-skandal

PETALING JAYA:
Walaupun media antarabangsa melaporkan tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mahu menyita aset berkaitan 1MDB, berita itu langsung tidak dilaporkan akhbar tempatan hari ini.

Tinjauan FMT mendapati kesemua akhbar utama berbahasa Melayu dan Inggeris gagal melaporkan berita itu walaupun ia mendapat liputan meluas agensi berita antarabangsa seperti Reuters dan AFP. Beberapa akhbar terkemuka termasuk New York Times juga memuatkan laporan itu.

Akhbar New Straits Times (NST), The Star, Utusan Malaysia dan Berita Harian tidak melaporkan berita itu.

Begitu juga Sinar Harian dan Malay Mail yang turut memalapkan laporan itu dalam halamannya hari ini.

NST memuatkan berita langkah mewajibkan vaksinasi di muka depannya, manakala Malay Mail, The Star dan Utusan kesemuanya memainkan berita spekulasi pilihan raya mengejut Pulau Pinang yang tidak menjadi.

Satu-satunya akhbar yang melaporkan berita itu ialah akhbar berbahasa Cina, China Press, itu pun di muka lima.

Memalukan

Mengulas kegagalan melaporkan berita itu, bekas pengarang kanan NST, Mustapha Kamil membidas editor akhbar tempatan kerana “terlepas sebuah berita besar”.

“Bagaimana kamu hendak bersemuka dengan wartawan, pengiklan dan seterusnya orang awam? Siapa yang bohong sekarang?” kata Mustapha yang meletakkan jawatan baru-baru ini kerana kesal dengan NST yang cuba menutup laporan mengenai 1MDB.

“Ini masa sesuai menulis surat peletakan jawatan anda,” tambah Mustapha yang menganggap institusi media di negara ini sudah terkubur.

Semalam, Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion), dalam kes korupsi yang terbesar negara itu membabitkan entiti luar.

Saman yang difailkan di Los Angeles itu bertujuan merampas aset yang “terbabit dalam dan boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.

Ia turut menamakan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, kerana dituduh menggunakan dana 1MDB sebanyak RM256 juta.

Dalam kenyataan pagi ini, setiausaha akhbar perdana menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin berkata kerajaan Malaysia akan memberikan kerjasama penuh dalam sebarang penyiasatan membabitkan 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.