Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Hassan Sakimon berkata pengubahsuaian itu dijangka siap akhir tahun ini bagi membolehkan tahanan IS yang ditahan di negara ini diasingkan dengan banduan lain.
“Kita sedang buat pengubahsuaian kerana tahanan ini berbeza dengan tahanan lain dan mereka tidak boleh bercampur dengan tahanan lain.
“Kalau militan IS bercampur, ia boleh mempengaruhi tahanan lain. Pihak kami juga menempatkan pegawai penjara yang dilatih khas bagi menjaga banduan militan berkenaan supaya banduan lain tidak terpengaruh dengan militan IS,” katanya kepada pemberita.
Hassan menyampaikan sijil pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Penjara membabitkan 158 pegawai penjara di Pusat Latihan Pegawai Penjara Malaysia di sini, hari ini.
Pada 16 Julai lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia kini menahan 213 orang yang terlibat dalam kegiatan IS termasuk 27 warga asing.
Hassan berkata tahanan kumpulan militan IS yang ditangkap itu kini sedang ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor dan Penjara Machang, Kelantan.
Beliau berkata, pihaknya menyediakan makanan dan penghantarannya akan dibuat secara berasingan selain mengawasi kesemua surat menyurat serta aktiviti perjumpaan dengan keluarga mereka.
Sementara itu beliau berkata Jabatan Penjara kini menghadapi masalah kesesakan tahanan di penjara yang menampung lebih 53,399 banduan berbanding 52,350 tahanan yang boleh ditempatkan di penjara di negara ini.
Bagaimanapun, pihaknya kini masih dapat mengawal kesesakan tahanan yang melakukan pelbagai kesalahan seperti Akta Pencegahan Jenayah 1999, Akta Pencegahan Anti Keganasan 2002, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA) dan militan IS, kata Hassan.
Beliau berkata Jabatan Penjara juga dalam perancangan untuk membina sebuah penjara baharu di Lahad Datu, Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-11 untuk mengatasi kesesakan tersebut.
“Reka bentuk penjara itu sedang disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.
Selain itu, katanya terdapat 1,184 kekosongan jawatan yang belum diisi di Jabatan Penjara.