FMT yang berada di lokasi menyaksikan ketibaan kenderaan rasmi Lim Guan Eng dan Datuk Seri Farizan Darus di kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri kira-kira jam 4.40 petang tadi.
Keberangkatan mereka dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ke Seri Mutiara menyusuli sidang media mengumumkan ketidaksepakatan Pakatan Harapan berhubung isu pilihan raya kilat diadakan di Pulau Pinang.
“Saya akan beritahu bila keputusan sudah dicapai,” kata Guan Eng kepada pemberita ketika ditanya bila pakatan pembangkang akan memutuskan perkara itu.
Desas-desus pilihan raya kilat mulai tersebar selepas The Star melaporkan perwakilan enam orang daripada DAP termasuk pimpinan kanan Roket bertemu Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membincangkan perkara itu.
Adalah dipercayai cadangan itu berkait dengan pendakwaan Guan Eng di mahkamah atas tuduhan rasuah.
Guan Eng hari ini memberi jaminan kepada rakan-rakan komponen PH bahawa sebarang keputusan berkenaan pilihan raya kilat tidak akan dibuat secara sebelah pihak.
Turut hadir dalam perbincangan di Komtar adalah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Memandangkan kamu semua sedang memikirkan mengenai pilihan raya kilat, isu ini sepatutnya isu sulit tetapi malangnya ia dibocorkan.
“Saya berdukacita ia dibocorkan, sejak itu mustahil untuk kita membincangkan perkara ini secara aman,” kata Guan Eng.