Dalam posting di Facebooknya awal hari ini, Ali berkata: “Alhamdulillah.. aku dah dapat PR Sweden..permohonan asylum diterima..Terima kasih Sweden sudi bagi PR, I love Sweden so much.
“Kalau aku jahat, Sweden takkan bagi aku PR..Terima kasih kepada mak ayah,adik beradik dan semua orang yang mendoakan..kepada haters dan pengkritik, terima kasih atas idea dan kritikan yang bernas,” tulisnya di Facebook.
Ali melarikan diri ke Sweden dua tahun lalu selepas ditahan kerana mengkritik kerabat diraja Johor. Amnesty International Sweden dilaporkan memberi sokongan kepada Ali dan menasihatinya untuk mendapatkan suaka politik mengikut saluran undang-undang.
Dia ditahan, dibebaskan dan kemudian ditahan semula pada September 2014, kerana mempersendakan kesultanan Johor dan menggesa negeri beraja dimansuhkan.
Susulan dia lari ke Sweden dan kritikan pedas yang berterusan terhadap sistem pemerintahan beraja di Malaysia, Jabatan Imigresen membatalkan pasport Ali.