Sebaliknya, Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus berkata mereka boleh mendidik DAP sekiranya terbukti parti itu berpotensi menjadi musuh Islam.
“Kita boleh didik (DAP) sebab mereka terikat dengan perlembagaan Malaysia,” katanya antara panel forum “Istilah Kafir Harbi: Kekal relevan atau tidak?” di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) malam tadi.
Turut berucap ialah agamawan Umno, Fathul Bari May Jahaya, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin, Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) Engku Ahmad Fadzil Engku Ali dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr Maszlee Malik.
Forum itu membincangkan kontroversi ditimbulkan Mufti Pahang, Datuk Dr Abdul Rahman Osman baru-baru ini, yang melabel mereka yang menentang undang-undang Islam sebagai “kafir harbi” dan wajib diperangi.
Hasanuddin kata penggunaan label itu akan menjauhkan bukan Islam dari Islam.
“Kalau mufti (Pahang) berkata begitu, walaupun niat dia lain, saya takut orang bukan Islam takut dan ini terbukti ada di kalangan mereka bertanya kepada saya, halal ke darah mereka (dibunuh).
“Maka sebab itu kita perlu memberi penjelasan kepada mereka dengan kasih sayang, kita bukan nak kata mufti salah tetapi kita nak perbetulkan supaya bukan Islam itu tidak lari daripada kita. Kita ajak mereka (DAP) bergaduh ini sangat tidak cerdik,” katanya, yang sempat menambah pendapat beliau itu akan disalah takrif sebagai “liberal”.
Hasanuddin berkata mereka yang tidak pernah bersemuka dengan pemimpin DAP seperti Zamihan, Engku Ahmad dan Fathul Bari berbuat perlu berbuat demikian bagi mendapat gambaran sebenar dan bukannya melemparkan pandangan negatif terhadap mereka.
“Pendekatan berjumpa itulah yang digunakan kita sekiranya berlaku salah faham dan kita memberi penerangan kepada mereka dan mereka juga terbuka menerima pandangan kita,” katanya.
Engku Ahmad berharap pemimpin Amanah supaya tidak mudah terpengaruh dengan DAP dan perlu belajar daripada sejarah kerjasama parti itu bersama PAS.
“Perlembagaan DAP dengan jelas mengatakan antara fokus mereka adalah menjadikan Malaysia negara sekular, makna sekular ialah agama tiada tempat dalam negara dan itu bukan perkara boleh sorok.
“Kata-kata manis juga diberi oleh PAS semasa mereka berkawan dengan DAP, tetapi sekarang ini mereka sedar dan ucapan mereka berlainan sekarang, jangan pula Amanah ulangi sejarah PAS, masa berkawan semuanya indah dan baik belaka,” katanya.
