Noh Omar patut minta minta maaf pada Sultan – Leiking

Noh Omar patut minta minta maaf pada Sultan – Leiking

Saya tidak pernah mengaitkannya dengan Sultan kerana kuasa baginda di atas politik.

darell-noh

PETALING JAYA :
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar sepatutnya meminta maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana mengheret baginda dalam agenda politik, kata Naib Presiden PKR Darrel Leiking.

“Saya kesal melihat kelicikan pemimpin politik Persekutuan mengulas perkara yang saya tidak pernah nyatakan, malah mencipta kata-kata mereka sendiri serta mentafsir secara unilateral apa yang dimuatnaik di Facebook milik saya.

“Saya tidak pernah mengaitkannya dengan Sultan kerana kuasa baginda di atas politik,” katanya dalam satu kenyataan media.

Leiking menggesa Noh Omar dan pihak yang memutar belit kenyataan yang disiarkannya itu supaya segera meminta maaf kepada Sultan Selangor.

Katanya, Sultan bukan sahaja diheret ke dalam agenda politik tetapi namanya disalahguna bagi mewajarkan serangan mereka.

Terdahulu, Noh mencabar PKR yang diterajui Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengambil tindakan terhadap Leiking yang mendakwa Selangor kini ditadbir oleh kumpulan ekstremis berikutan kandungan khutbah Aidilfitri menyentuh Rang Undang Undang Syariah.

Noh berkata, kenyataan Leiking mempersoalkan khutbah di Selangor sama seperti mempersoal Sultan Selangor.

Leiking pula pada masa yang sama menegaskan akan terus mempertahankan serta memastikan kesinambungan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak yang memutar kenyataan saya di Facebook bahawa saya adalah orang Sabah dan Ahli Parlimen daripada Borneo. Saya tidak akan abaikan apa yang sedang berlaku di peringkat Persekutuan.

“PKR telah mewajibkan semua ahli parti untuk menegakkan Perjanjian Malaysia 1963.

“Oleh itu permintaan Noh Omar kepada Presiden Parti PKR supaya mengambil tindakan terhadap saya yang bersuara demi mempertahankan Persekutuan Malaysia umpama menyemai politik kebencian dan penipuan.

“Ia juga menunjukkan kegagalan Noh Omar memahami Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.