ULAANBAATAR (Mongolia): Tapisan terhadap warga asing akan dilakukan melalui ‘Sistem Saringan Awal Penumpang’ (APSS) bagi mengekang kemasukan kumpulan militan, susulan penolakan Kabinet terhadap cadangan pengeluaran visa kepada rakyat Timur Tengah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, APSS akan membolehkan maklumat lengkap warga asing, termasuk pelancong diperolehi di tempat mereka berlepas dan pintu masuk secara “masa nyata”.
Katanya, sistem APSS yang menghubungkan data daripada pelbagai pihak seperti Interpol dengan jabatan penerbangan awam dan syarikat-syarikat penerbangan juga membolehkan pihak berkuasa mengesan pasport dan dokumen perjalanan palsu.
“Kita dalam peringkat formaliti pelaksanaan. Tiga perempat daripada negara di dunia melaksanakan sistem ini dan kita akan bawa ke Majlis Ekonomi Negara dan Kabinet untuk diputuskan tarikh pelaksanaan,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas tiba hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-11.
Semalam, Kabinet menolak cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengeluarkan visa kepada rakyat Timur Tengah yang memasuki Malaysia.
Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat kerana tidak adil mengeluarkan visa kepada pelancong Timur Tengah yang merupakan antara jumlah pelancong teramai ke Malaysia dan menyumbang RM2.6 bilion kepada pertukaran mata wang asing.
Katanya, Jabatan Imigresen mempunyai sumbernya sendiri untuk mengekang kemasukan kumpulan militan IS ke Malaysia dan kumpulan militan bukan hanya datang dari rantau berkenaan tetapi juga beberapa negara jiran.
Beliau berkata, 138 militan yang ditahan di penjara dan depoh tahanan hasil kerjasama polis dengan Interpol dan agensi perisikan lain akan dipindahkan ke Pusat Tahanan Kemunting.
“Mereka akan diasingkan daripada banduan lain dan ditahan di blok khas di Kamunting. Ini untuk mengelak mereka (daripada) mempengaruhi tahanan lain,” tambahnya.
Mengenai laporan Ketua Penolong Pengarah Anti Pengganas, Cawangan Khas (E8), Datuk Ayob Khan menerima ugutan bunuh daripada anggota kumpulan militan IS, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tahu mengenai kewujudan senarai mereka yang dikehendaki kumpulan itu.
“Kita tak ambil mudah. Kita ada pendekatan atasi ancaman ini dan kita beri penekanan kepada aspek keselamatan individu terbabit dan Cawangan Khas Bukit Aman akan teruskan pemantauan,” katanya.
