SIS: Khutbah raya patut lebih bernas

SIS: Khutbah raya patut lebih bernas

Sisters In Islam memberikan respon selepas disebut dalam khutbah Hari Raya di Selangor.

rozana-sis

PETALING JAYA:
Khutbah Hari Raya sepatutnya menumpu usaha menyatukan umat Islam dan bukan “cacian”, kata Sisters In Islam (SIS).

“Semestinya ada lagi khutbah dan utusan yang lebih bernas yang dapat menyatukan umat Islam pada hari dan bulan yang baik dan mulia ini,” kata Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa kepada FMT.

Katanya SIS tidak boleh menghalang Jais menyediakan teks khutbah kerana badan itu lebih berkuasa.

“Itu adalah pilihan Jais untuk memberi khutbah yang sedemikian (mengkritik SIS).”

Beliau mengulas teks khutbah Hari Raya di Selangor baru-baru ini yang menggesa umat Islam bersyukur selepas penolakan permohonan semakan kehakiman SIS mencabar fatwa Selangor yang melabelkan pertubuhan itu sesat.

Khutbah itu juga mahu umat Islam bersyukur dengan rang undang-undang meminda peruntukan hukuman yang boleh dijatuhkan mahkamah syariah seperti dikemukakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen, Mei lalu, di samping mempertahankan kalimah “Allah”.

Pada 24 Jun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman SIS mencabar fatwa Selangor yang melabelkan pertubuhan itu sebagai “sesat dan menyeleweng”, dengan alasan mahkamah sivil tidak ada bidang kuasa membuat keputusan berhubung isu fatwa.

Bagaimanapun, Rozana memberitahu FMT, SIS sudah memfailkan permohonan rayuan tersebut di Mahkamah Rayuan, Isnin lepas.

“Mahkamah membuat keputusan yang ia tidak mempunyai bidang kuasa atas kes ini. Mahkamah tidak membuat keputusan sama ada fatwa ini adalah sah atau berpatutan dari segi perlembagaan atau undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.