
Peguam hak asasi Syahredzan Johan berkata sekiranya Sanjeevan melakukan kesalahan yang mewajarkannya ditahan di bawah POCA, beliau sepatutnya ditahan di bawah akta itu sejak dari awal.
“Kenapa perlu ditahan selama 18 hari sebelum ditahan POCA. Kita bukan mahu nafikan polis ruang menyiasat. Memang diakui polis harus diberi masa untuk lakukan siasatan.
“Tetapi pada masa yang sama, hak suspek juga harus dipelihara. Pada masa ini suspek tidak dituduh di bawah apa-apa undang-undang pun,” katanya kepada FMT.
Semalam, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan polis menahan reman Sanjeevan selama 21 hari di bawah POCA bagi tujuan siasatan.
Sanjeevan, yang mengetuai badan anti jenayah MyWatch, ditahan semula kelmarin, kali ketujuh sejak pertama kali ditangkap pada 23 Jun lalu, kerana didakwa melakukan peras ugut dengan meminta “wang perlindungan” RM25,000 daripada sindiket perjudian haram.
Syahredzan berkata penahanan Sanjeevan yang lama ibarat menghukum suspek yang masih belum didakwa.
“Perlu ada keseimbangan di antara keperluan polis dan hak suspek,” katanya.
Peguam hak asasi Melissa Sasidaran berkata sekiranya polis mempunyai bukti kesalahan yang dilakukan oleh Sanjeevan, sepatutnya beliau dituduh di mahkamah dan bukannya menahan di bawah POCA yang merupakan undang-undang-undang penahanan tanpa perbicaraan.
“Permohonan reman berkali-kali ke atas Sanjeevan adalah suatu ‘chain remand’ (reman berantai) yang menyalahi undang-undang kerana permohonan reman hanya boleh dibuat maksima dua kali bagi setiap kesalahan.
“Apabila permohonan reman ke atasnya ditolak, pihak polis menggunapakai POCA pula untuk menahannya. Ini adalah percubaan berkali-kali pihak polis untuk mengelakkan undang-undang dan prosedur reman,” katanya.