Rujuk Sarawak sebagai ‘wilayah’ cadangan sia-sia, kata PKR

Rujuk Sarawak sebagai ‘wilayah’ cadangan sia-sia, kata PKR

Cadangan presiden SUPP supaya Sarawak dirujuk sebagai 'wilayah' hanya bertujuan mengalih perhatian daripada usaha mengembalikan kuasa autonomi negeri itu.

See-Chee-How_pkr_6001
PETALING JAYA: Melabel Sarawak sebuah “wilayah” tidak membantu dalam penerapan rasa cinta terhadap negeri itu, menurut PKR Sarawak, yang berkata ia merupakan salah satu 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Sarawak dirujuk sebagai sebuah ‘negeri’ bukan selepas penubuhan Malaysia. Ia dirujuk sedemikian dalam Perjanjian Malaysia, yang dimeterai pada 9 Julai, 1963,” kata Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How dipetik Borneo Post hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang itu mengulas kenyataan Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian, yang mahu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem merujuk negeri itu sebagai “wilayah” dalam perbincangan penurunan kuasa dengan Putrajaya.

See menjelaskan, Perjanjian Malaysia menyebut negeri Sarawak, Sabah dan Singapura akan dipersekutukan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu yang akan dikenali sebagai “Malaysia”.

“Amat mengejutkan menteri negeri (Sim) tidak ada pengetahuan asas mengenai sejarah penubuhan Malaysia dan bagaimana istilah ‘negeri’ digunakan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya, dan menambah tidak ada asas bagi merujuk Sarawak sebuah “wilayah”.

“Cadangan itu seksi dan boleh mengundang rasa teruja, tetapi amat bahaya,” kata See.

Menurutnya, kenyataan sebegitu hanya sia-sia dan cubaan mengalih perhatian daripada usaha mengembalikan kuasa autonomi kepada Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.