Lebih 300 peniaga dikenakan kompaun

Lebih 300 peniaga dikenakan kompaun

KPDNKK berkata jumlah rampasan ialah RM38,209.22 manakala nilai keseluruhan kompaun RM57,861.60.

sum

PETALING JAYA :
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata lebih 300 peniaga dikenakan kompaun sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga perayaan Aidilfitri.

Timbalan menterinya Datuk Henry Sum Agong berkata sehubungan itu pihaknya menggesa individu yang dikenakan kompaun membayarnya.

“Tapi apa kita inginkan ialah kalau boleh tidak ada yang dikenakan kompaun. Itu lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan hari raya puasa 2016 di Pasar Awam Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.

Sementara itu, Henry dalam kenyataan medianya berkata sehingga semalam, kementerian menjalankan 34,495 pemeriksaan yang merangkumi 1,157 premis borong dan 33,338 premis runcit.

“Jumlah rampasan sebanyak RM38,209.22 manakala jumlah keseluruhan kompaun RM57,861.60,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menyeru peniaga supaya menjual barangan harga terkawal lebih rendah daripada harga maksimum jika harga yang diperoleh lebih rendah.

Skim kawalan harga bermula pada 16 Jun lalu dan berkuat kuasa sehingga esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.