Selepas dilantik menteri, Noh sasar penduduk PPRT Selangor

Selepas dilantik menteri, Noh sasar penduduk PPRT Selangor

Beliau berkata sedih dan sebak melihat kehidupan sekeliling mereka yang sempit dan tidak selesa.

noh-omar

KUALA SELANGOR:
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu, Tan Sri Noh Omar berkata menjaga kebajikan penghuni program perumahan rakyat termiskin (PPRT) merupakan antara agenda utama yang akan dilaksanakannya selepas dilantik menerajui kementerian itu.

Beliau berkata masalah yang dihadapi penghuni PPRT wajar diberi perhatian serta pembelaan kerana golongan itu hidup dalam keadaan tidak selesa dengan kawasan tempat tinggal yang daif.

“Saya sedih dan sebak melihat kehidupan sekeliling mereka yang sempit dan tidak selesa.

“Lif yang kadang-kadang tidak berfungsi dan ada penduduk yang terpaksa belanja lebih untuk membayar upah mengangkat tong gas apabila lif rosak… kita akan cuba lihat pendekatan yang lebih baik untuk atasi masalah tersebut,”katanya.

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Ketua Jabatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Daerah Kuala Selangor di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menggantikan Datuk Abdul Rahman Dahlan susulan rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Berikutan pelantikan itu, Noh mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dasar dan program sedia ada kementerian tersebut, Noh berkata pihaknya akan meneruskan kesinambungan yang ditinggalkan Abdul Rahman.

“Saya akan meneruskan program dan dasar yang dibuat oleh kementerian dan secara kasar ada beberapa dasar baharu yang diperkenalkan.

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.