Pengunjung ugut saman kelab malam Puchong

Pengunjung ugut saman kelab malam Puchong

Jaiseelan berkata, jika penyerang menyasarkannya, kenapa mereka tidak terus tembak beliau sebaliknya bersusah payah lontar sebutir bom?

movida
PETALING JAYA: Mangsa cedera dalam letupan bom di Puchong menyangkal dakwaan pemilik bar terbabit kononnya beliau disasarkan penyerang dalam kejadian semalam.

S Jaiseelan, 32, yang bekerja sebagai pemandu peribadi kepada majikan di sebuah syarikat multi nasional di sini berkata, beliau tidak mempunyai sebarang musuh.

Demikian reaksinya kepada pemilik Bar Movida, Roger Hew yang menuding jari ke arah Jaiseelan dan isterinya, Bavani sebagai sasaran penyerang.

Roger melalui Facebooknya mendakwa “siasatan awal insiden berkenaan menunjukkan ia membabitkan dua pelanggan, satu pasangan India yang disasarkan kerana masalah peribadi.”

Roger turut mendakwa penyerang melontar bahan letupan ke arah pasangan itu yang disangkal Jaiseelan.

Jaiseelan yang ditemui FMT di hospital berkata, bom tangan itu terkena kepala seorang lelaki Cina yang duduk selang dua meja daripada mereka, bersama seorang wanita.

“Bukti apa yang pemilik bar itu ada untuk menyalahkan kami atas serangan itu? Saya tiada musuh dan anda boleh periksa sendiri, tiada rekod polis.

“Saya kerja untuk mencari rezeki halal buat keluarga saya. Dakwaannya tidak bertanggungjawab sama sekali,” katanya yang masih dirawat di hospital.

Jaiseelan turut mempersoalkan motif Roger menyalahkan beliau dan isterinya, sedangkan ada ramai pelanggan di bar itu ketika kejadian berlaku yang mungkin menjadi sasaran penyerang.

“Anggaplah apa yang dia (Roger) kata adalah betul dan penyerang memang sasarkan saya, kenapa tidak mereka tembak saya atau guna cara lain? Kenapa perlu lontar sebutir bom untuk cederakan begitu ramai orang tidak bersalah?” soalnya.

Sehubungan itu, Jaiseelan mendesak Roger memohon maaf secara terbuka kepadanya atau beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik bar itu.

Beliau turut mendakwa tiada pekerja bar terbabit yang tampil memberi bantuan kepada beliau mahupun pelanggan lain yang cedera dalam letupan itu.

“Pengunjung lain yang terselamat yang datang membantu kami,” katanya yang mengalami keretakan di kaki kanan, melecet teruk di kaki kiri dan gegendang telinga kiri berlubang.

Serpihan galas bebola dalam bom tangan itu masih tertusuk dalam kulitnya dan doktor tidak boleh mengeluarkan buat masa ini kerana terlalu banyak.

Adik lelaki Jaiseelan, S Kavilan yang turut berang dengan dakwaan Roger itu akan membuat laporan polis terhadapnya secepat mungkin.

“Kami juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya tidak lama lagi,” katanya.

Jaiseelan dan Bavani yang julung kali mengunjungi pusat hiburan itu sedang meraikan ulang tahun perkahwinan kedua mereka di sana ketika letupan berlaku kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Polis sedang menyiasat kes itu daripada beberapa sudut, termasuk musuh perniagaan, dendam dan serangan pengganas.

Seorang rakyat Malaysia yang berada di Syria dan mendakwa dirinya anggota IS, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi turut mendakwa kumpulan itu bertanggungjawab melancarkan serangan terbabit sebagai hukuman kepada mereka yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjalankan aktiviti maksiat.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.