Jakarta desak permohonan maaf isu pesawat ‘pintas’

Jakarta desak permohonan maaf isu pesawat ‘pintas’

Menteri pertahanan Indonesia meminta Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta maaf atas kejadian pesawat TUDM terbang merentasi Kepulauan Natuna.

Ryamizard-Ryacudu-1

JAKARTA:
Indonesia mahu Malaysia memohon maaf berhubung insiden di mana pesawat Malaysia ‘dipintas’ ketika ia merentasi Kepulauan Natuna yang dimiliki republik itu.

Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu dipetik Jakarta Post sebagai berkata:”Saya sendiri meminta menteri pertahanan Malaysia mohon maaf.”

Katanya, beliau meminta Pasukan Udara dan Laut Tentera Indonesia untuk mengekalkan komunikasi rapat dengan pasukan di Malaysia bagi meningkatkan koordinasi antara dua negara itu.

Ryamizard juga memberitahu wartawan beliau mempunyai hubungan rapat dengan rakan sejawat dari Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Di Kuala Lumpur, Hishammuddin berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat di Jakarta bulan depan.

Bagaimanapun, beliau menafikan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia C-130 (MEGA 207) dipintas dua pesawat F-16 milik Tentera Udara Indonesia.

Beliau dipetik sebagai berkata kepada The Star yang kejadian di laluan biasa merentasi Kepulauan Natuna itu “hanya identifikasi visual” pesawat itu.

“MEGA 207 tidak dipintas oleh TNI-AU. Tidak berlaku waran pintasan memaksa C-130 kita turun. Ia hanya identifikasi visual untuk pesawat kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan pesawat C-130 berlepas dari pangkalan TUDM Subang pada 10.10 pagi Sabtu lalu bagi misi latihan berjadual mengikut laluan penerbangan ke pangkalan TUDM Labuan yang ditentukan lebih awal.

Identifikasi visual itu berlaku pada 12.03 tengah hari berhampiran Kepulauan Natuna di Laut China Selatan.

Hishammuddin berkata TUDM akan terus menggunakan laluan itu.

The Star melaporkan Hishammuddin memberikan mandat kepada Panglima TUDM Tan Sri Roslan Saad untuk “mengambil tindakan sewajarnya bagi melaksanakan hak kita menggunakan laluan ini”.

Hishammuddin berkata hengikut perjanjian antara Malaysia dan Indonesia, Malaysia mempunyai hak melakukan “penerbangan berterusan, cepat dan cekap dan tanpa halangan” di ruang udara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.