“Apabila saya berada dalam Umno, parti tersebut tidak diurus sedemikian rupa. Dr Mahathir seorang malaikat berbanding Najib,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam temu bual bersama FMT.
Katanya, di bawah kepimpinan Najib, Umno melalui fasa yang tidak pernah dihadapi parti itu selama ini.
Ini kerana, katanya, budaya Umno kini ialah mencantas dan menghapuskan mereka yang mengkritik Najib atau parti pemerintah.
Zaid kesal dengan kepimpinan semasa yang langsung tidak mempunyai rasa hormat dan berterima kasih kepada Dr Mahathir, seorang pemimpin yang mendedikasikan hidupnya menjadikan Malaysia negara terkenal.
Melabelkan Umno sebagai pendendam dan “tiada kelas”, pengasas pergerakan Save Malaysia itu berpendapat, Dr Mahathir tidak sepatutnya dilayan dengan cara ini, semata-mata kerana mempersoal perkara yang bermain di fikiran rakyat.
“Mereka sangat jahat, melayan Dr Mahathir seolah-olah musuh rakyat di negara ini. Itu bukan caranya kita melayan bekas pemimpin,” tegasnya.
Majlis Tertinggi Umno, pada Jumaat lepas memutuskan untuk menghentikan pembiayaan kerajaan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana.
Keputusan itu diambil selepas mendapati Dr Mahathir menggunakan pejabat tersebut di Putrajaya bertemu dan merangka pelan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan “yang dipilih secara demokrasi” menggunakan cara-cara tidak berperlembagaan.
Zaid bagaimanapun berkata, langkah itu hanya menambahkan pengaruh Dr Mahathir kerana orang ramai akan dapat melihat sebab keberadaan Najib.
Biar pun bersetuju dengan analisis politik yang mengaitkan langkah drastik Umno sebagai punca kemenangan berkembar pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Zaid berkata, Najib tidak seharusnya lupa terhadap individu yang membawanya ke tahap ini.
“Saya berasa kasihan terhadap Najib, beliau telah kalah. Bagaimanapun, pergerakan Save Malaysia akan diteruskan. Perjalanan kami masih jauh dan kami akan melakukannya.”