Lee Chang Yong, dalam afidavit bertarikh 14 Jun mendakwa isterinya, Teng Wai Yee menggunakan taktik “tidak suci” untuk mendapatkan penjagaan keatas anak perempuan dan anak lelaki daripadanya.
“Saya percaya dia menukar agama dua anak kami secara sebelah pihak dan merancang berbuat demikian apabila memeluk agama Islam tahun lepas,” katanya.
“Beliau juga menggunakan alamat palsu untuk mendaftarkan penukaran agama anak supaya dia boleh berbuat demikian secara rahsia dan dengan cara yang berniat jahat,” tambahnya. “Alamat pada sijil tukar agama dua beradik tidak sama dengan alamat Wai Yee atau alamat kediaman saya.”
Ahli perniagaan berusia 46 tahun itu dalam afidavitnya berkata dia mendapati Wai Yee, yang juga dikenali sebagai Aleena Abdullah, tidak menghantar anak mereka ke sekolah pada 11 Mei, sebaliknya membawa mereka pergi mengucapkan “Kalimah Shahadah”.
“Dia tidak menjawab pesanan saya sejak 8.55 pagi, dan hanya menjawab pada sebelah petang, dan katanya mereka berada di sekolah dan tidak memberikan huraian lebih lanjut,” katanya.
Chang Yong diberitahu mengenai penukaran agama mereka daripada anak perempuan pada hari yang sama. “Dia beritahu ibu bawa mereka ke suatu pejabat untuk diambil cap jari.”
“Dia kata dia tidak sedar apa yang berlaku,” katanya. “Anak lelaki saya yang berusia tiga tahun juga tidak sedar.”
Chang Yong menambah, anak perempuannya beritahu seorang lelaki dan ibunya memujuknya supaya membacakan ayat dalam bahasa Melayu yang dia tidak fahami tetapi mengandungi perkataan “Allah”. “Katanya ibunya tidak menjelaskan apa yang berlaku apabila cap jarinya diambil pada hari itu.”
“Saya hanya tahu beberapa minggu kemudian selepas dia mengumumkan anak perempuan kami beragama Islam.”
Sebelum ini pada Februari, Chang Yong mendakwa isterinya berusaha mempengaruhi anak mereka supaya menukar agama.
“Dia bawa anak kami ke masjid untuk diajarkan mengenai Islam,” katanya.
Chang Yong berkata mulai sedar Wai Yee bersikap “bukan seperti biasa” sejak Ogos tahun lalu apabila dia menolak makanan tidak halal atau berkunjung ke tokong. “Dia kemudian akui pada Oktober yang dia menghadiri kelas malam untuk ‘muallaf’ dan berniat menukar agama kepada Islam kerana dia tidak lagi mencintai saya. Dia juga bersedia serah hak penjagaan anak.”
Pasangan itu memfailkan petisyen perceraian pada 17 Disember tetapi tidak boleh bersetuju mengenai syarat-syarat penjagaan anak serta pembahagian aset.
Petisyen diketepikan apabila Wai Yee memeluk agama Islam pada 29 Disember tahun lalu.
Chang Yong kemudiannya memfailkan petisyen perceraian baharu pada 11 Mei, di bawah Seksyen 53 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian), yang menyatakan sekiranya mana-mana pasangan memeluk agama Islam, pasangan yang bukan beragama Islam boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan mereka.
Beliau juga memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar penukaran agama anak-anaknya 14 Jun lepas.