Pemandu Grab diserang di Mid Valley

Pemandu Grab diserang di Mid Valley

Dua penumpang yang ketakutan segera keluar dari kereta Grab itu selepas dipaksa berbuat demikian oleh pemandu teksi terbabit.

grabcar-north-midvalley

PETALING JAYA:
Seorang lagi pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan diserang.

Kali ini membabitkan seorang pemandu Grab yang sedang mengambil dua penumpang di pintu North Court pusat beli-belah Mid Valley pada jam 2 pagi tadi.

Pemandu Grab berusia 35 tahun itu diserang beberapa pemandu teksi yang berang kerana didakwa menceroboh kawasan mereka.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor berkata, mangsa didatangi seorang pemandu teksi yang bertindak menahan dan memarahinya kerana mengambil penumpang di kawasan berkenaan.

Dua penumpang yang ketakutan itu segera keluar dari kereta selepas dipaksa berbuat demikian oleh pemandu teksi terbabit.

Dua lagi pemandu teksi muncul dan cuba merampas telefon bimbit mangsa tetapi gagal.

Ketika ditanya kenapa mengambil penumpang di kawasan Mid Valley, mangsa menjawab beliau hanya mengikut permintaan pelanggan.

Seorang daripada pemandu teksi itu mendakwa dia memecahkan sebuah Grab lain sebelum menendang mangsa dan keretanya.

Beberapa pemandu teksi dikatakan muncul secara tiba-tiba dan turut menyerang kereta itu.

Mangsa tidak cedera dan enggan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

Bagaimanapun, mangsa mendakwa keretanya mengalami kerosakan agak teruk termasuk di pintu kiri dan kanan bahagian belakang.

Rabu lalu, seorang pemandu teksi ditahan untuk membantu siasatan kekecohan membabitkan seorang pemandu Uber di KL Sentral pada 20 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan sebagai berkata, hanya seorang pemandu teksi terbabit dalam kes di KL Sentral itu manakala yang lain adalah “penonton” kejadian berkenaan.

Malah, Amar Singh turut menafikan kereta Uber itu dirosakkan.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina, lebih 50 pemandu teksi didakwa menyorok di KL Sentral dan menyerang sebuah kereta Uber di KL Sentral minggu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.