Kaki ponteng puasa ‘raya’ di Sungai Golok

Kaki ponteng puasa ‘raya’ di Sungai Golok

Kebanyakan penduduk di negara ini beragama Islam, namun masih ada yang ‘tumpang sekaki’ dengan penduduk bukan Islam makan di kedai di Sungai Golok.

sungai golok

RANTAU PANJANG:
Rakyat Malaysia dikesan menjamu selera di sekitar kedai makan di Sungai Golok ketika negara mula berpuasa 1 Ramadan pada 6 Jun lalu.

Sinar Harian melaporkan, kedai makan di situ tidak ditutup pada 6 Jun memandangkan Thailand mula berpuasa 1 Ramadan pada 7 Jun.

Tanpa rasa segan silu, kaki ponteng puasa makan dalam kedai makan yang turut dipenuhi bukan Islam. Malah, ada penduduk mendakwa melihat penjawat awam dan anggota keselamatan, ‘turun padang’ ke kedai makan di situ untuk menjamu selera.

Pada hari kedua Ramadan, pintu kedai makan itu ditutup separa rapat agar tidak terlalu menjolok mata, selain memberi ruang privasi kepada golongan kaki ponteng puasa.

“Walaupun pintu ruang makan ditutup, namun peniaga di sini bebas menjual makanan di luar kedai makan secara terbuka.

“Terdapat sekurang-kurangnya 40 lauk pauk dijual di kaki lima kedai makan itu dan pengunjung boleh memilih sama ada membawa pulang makanan atau makan terus di kedai berkenaan,” kata seorang penduduk Rantau Panjang, Noh, 47.

Lokasi sama menjadi sasaran golongan yang ponteng puasa pada waktu makan tengahari, bermula jam 1 hingga 2 petang dan ada yang mengambil peluang jadi tukang beli makanan dan menjualnya semula pada harga lebih tinggi.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul berkata, individ berkenaan akan membeli bungkusan kecil makanan dalam kuantiti banyak pada harga antar RM2 hingga RM3 sebungkus.

“Mereka kaut untung dengan menjual lauk berkenaan sehingga RM5 sebungkus, tidak termasuk nasi putih,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.