Amanah sedia terima Muhyiddin, Mukhriz – Mat Sabu

Amanah sedia terima Muhyiddin, Mukhriz – Mat Sabu

Amanah terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin menjadi ahli

mat-sabu-muhyiddin-mukhriz-amanah

PETALING JAYA:
Amanah bersedia membuka pintu kepada bekas pemimpin Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk bersama-sama menentang Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Mohamad Sabu mengulas kenyataan dua bekas pemimpin parti Melayu itu yang sedang menimbang untuk menubuhkan parti baru atau menyertai parti sedia ada.

“Bagi pandangan peribadi, kita bersedia menerima dan bersifat terbuka. Sesiapa sahaja boleh masuk untuk jadi ahli Amanah.

“Tetapi sekiranya mereka (Muhyiddin dan Mukhriz) berminat masuk Amanah, sebelum luluskan kena adakan mesyuarat dahulu,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, dalam sidang media bersama selepas dipecat Umno, Muhyiddin dan Mukhriz berkata platform baharu itu bertujuan untuk meneruskan perjuangan politik mereka.

Namun, mereka berdua kelihatan masih berteka-teki berhubung bentuk platform tersebut, atau bilakah mereka akan membuat keputusan.

“Itu hak mereka,” jawab Sabu. “Sebagai negara demokrasi mereka berhak untuk menubuhkan parti baru. Bagi saya, kita tidak boleh sekat mereka untuk menubuhkan parti baru,” katanya.

Jumaat lepas, Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara memutuskan untuk memecat Muhyiddin dan Mukhriz daripada parti itu manakala Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahlian.

Sejurus pemecatan itu, Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) membayangkan kemungkinan bakal wujud parti baharu bagi menentang kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mereka menamakan kumpulan penentang Najib sebagai 3M (Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.