Wanita maut, insiden ke-4 beg udara Honda City

Wanita maut, insiden ke-4 beg udara Honda City

Ibu kepada dua anak itu mati di tempat kejadian pada jam 12.30 tengah hari semalam dalam nahas di Kota Damansara.

honda-pecah
PETALING JAYA: Seorang wanita maut dipercayai akibat serpihan besi yang terpelanting daripada beg udara di stereng keretanya terkena dadanya susulan kemalangan kecil di Kota Damansara semalam.

Malay Mail Online melaporkan, Norazlin Haron, 44, terbunuh di tempat kejadian pada jam 12.30 tengah hari dalam nahas membabitkan kereta Honda City mangsa dan sebuah Mercedes Benz.

Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Rosdi Hainan yang dipetik portal berita itu berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mangsa tercungap-cungap menarik nafas di tempat duduk pemandu dengan pendarahan di bahagian dadanya.

Tiga penumpang dalam kereta mangsa, termasuk dua anak lelakinya yang berusia 9 dan 12 tahun terselamat manakala pemandu dan penumpang kereta Mercedes itu juga tidak cedera.

Ini adalah kematian keempat membabitkan beg udara di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun ini.

Kemalangan itu berlaku tiga hari selepas Honda Malaysia memanggil balik lebih 147,894 unit kenderaannya bagi menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang hadapan, Khamis lalu.

Panggilan balik itu membabitkan Honda Accord keluaran 2003-2011, City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

Sementara itu, jurucakap Honda Malaysia berkata syarikat itu masih menyiasat insiden tersebut dan tidak dapat memberi butiran lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.