Sambungan LRT Subang, Puchong mula beroperasi

Sambungan LRT Subang, Puchong mula beroperasi

Prasarana memaklumkan perkhidmatan bas penghantar juga disediakan setiap 10-15 minit antara Lembah Subang dan Putra Heights.

lrt-1

KUALA LUMPUR:
Prasarana mengumumkan sambungan LRT aliran Ampang dan Kelana Jaya bagi hentian Subang Jaya, Puchong dan Putra Heights akan mula beroperasi Khamis ini seperti yang dijadualkan.

Ketua Pengarah Eksekutif Projek Infrastruktur dan Rel Prasarana Sdn Bhd, Zohari Sulaiman dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan bas penghantar juga akan disediakan setiap 10 hingga 15 minit di sepanjang 10 laluan antara Lembah Subang dan Putra Heights.

Bagaimanapun, hanya ruang letak kereta sementara di stesen Subang Jaya dan USJ yang boleh digunakan buat masa ini, sebelum tempat letak kereta tetap dibina di sebuah tapak pembangunan bersama-sama pemilik tanah bersebelahan.

Sambungan bagi aliran Kelana Jaya menyaksikan penambahan 17.4km landasan dengan 13 stesen iaitu Lembah Subang; Ara Damansara; Glenmarie; Subang Jaya; SS 15; SS 18; USJ 7; Taipan; Wawasan; USJ 21; Alam Megah; Subang Alam; Putra Heights (terhubung dengan aliran Ampang).

Bagi aliran Ampang pula, sebanyak 18.1km landasan ditambah juga dengan 12 stesen iaitu Putra Heights; Kinrara; Puchong Prima; Puchong Perdana; Bandar Puteri; Taman Perindustrian Puchong; Pusat Bandar Puchong; IOI Puchong Jaya; Kinara BK 5; Alam Sutera; Mihibbah; Awan Besar.

Dalam pada itu, Zohari juga berkata arkitek telah mengeluarkan perakuan siap dan pematuhan (CCC) dan surat sokongan daripada pelbagai agensi.

Beliau mengulas kenyataan ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya Nor Hisham Ahmad Dahlan sehari sebelumnya, bahawa MPSJ tidak meluluskan CCC ekoran kurangnya tempat letak kereta disediakan.

Zohari berkata, tempat letak kereta di stesen Subang Jaya dan USJ7 tidak dimasukkan ke dalam pelan dan CCC kerana ia adalah sebahagian daripada pembangunan hartanah hasil usahasama dengan pemaju lain.

Namun beliau memaklumkan pusat khidmat MPSJ telah mengesahkan bahawa CCC akan dihantar Isnin ini.

Katanya lagi, selain telah menyediakan lebih 2,200 ruang letak kereta sepanjang sambungan aliran Kelana Jaya, Prasarana juga dalam perbincangan dengan Sime Darby untuk menyediakan tempat letak kereta sementara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.