Amanah: Realitinya, institusi zakat dicurigai

Amanah: Realitinya, institusi zakat dicurigai

Naib presiden Amanah itu menyeru pihak berkuasa tempatan mencontohi pengurusan zakat Singapura.

zakat_600

KUALA LUMPUR:
Amanah hari ini setuju institusi rasmi zakat perlu dihormati, namun mempersoalkan sejauh mana pihak berkuasa memastikan kecekapan pengurusan zakat supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan tertentu.

“Kalau kita lihat dari sudut sebuah negara yang besar, memang saya hampir bersetuju supaya kita serahkan kepada amil dan amil akan mengkajinya di peringkat negara dan ia akan lebih melata dan akan mencapai orang-orang yang lebih layak.

“Cuma realiti pada hari ini kita dapati tidak efisyennya kerajaan dan juga amil yang ada yang akhirnya kita curiga dengan pembahagian zakat itu, kata Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus, dipetik portal berita parti berkenaan Malaysia Dateline.

Semalam, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata adalah haram membayar zakat terus kepada asnaf (penerima zakat) sekiranya wujud badan khas dipertanggungjawabkan mengumpulkan zakat.

Beliau juga menafikan dakwaan wang zakat disalah gunakan.

“Adalah salah pendapat mendakwa majlis agama menggunakan bahagian-bahagian asnaf itu bagi tujuan lain, sedangkan pegawai menguruskan hal zakat hanya diberi ganjaran gaji melalui bahagian amil,” katanya.

November lalu, Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata tidak salah seseorang memberi zakat terus kepada asnaf sekiranya dia tidak mempercayai institusi yang ditugaskan mengumpul zakat.

Zakat merupakan salah satu daripada lima rukun Islam, dan diwajibkan ke atas umat Islam yang memenuhi beberapa syarat berkenaan wang simpanan dan harta mereka.
Cukai tahunan itu perlu sampai kepada lapan kategori penerima zakat, atau asnaf, yang dinamakan dalam Al-Quran, termasuk golongan fakir miskin.

Sementara itu, Hasanuddin menyeru pihak berkuasa Islam tempatan mencontohi badan zakat di Singapura, yang menurutnya menjalankan urusan zakat dengan telus, sistematik dan cekap.

“Saya melihat teman-teman yang menguruskan majlis agama Islam Singapura dan menguruskan masjid mereka boleh melihat dari dalam helikopter, tengok keseluruhan jumlah fakir miskin yang mereka kenal pasti dan mereka dapat agihkan zakat malah dengan duit itu mereka boleh menukar daripada seorang yang layak menerima zakat kepada pemberi zakat selepas beberapa tahun,” katanya.

Beliau turut mencadangkan bantuan zakat dipanjangkan kepada fakir miskin bukan Islam, dengan mengambil kira prinsip maqasid syariah.

Ini, katanya, akan melembutkan hati mereka dalam menerima dakwah Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.