Jokowi naik kapal perang tunjuk ketegasan dengan China

Jokowi naik kapal perang tunjuk ketegasan dengan China

Kita hendak tunjuk Indonesia ialah negara yang besar dan kita perlu tunjukkan ia secara fizikal, kata Jokowi.

jokowi

JAKARTA:
Presiden Indonesia melawat Kepulauan Natuna dengan menaiki kapal perang hari ini, dilihat sebagai langkah berani bagi menegaskan kedaulatan terhadap kawasan selatan Laut China Selatan yang turut dituntut China.

Pegawai Indonesia menggambarkan lawatan Presiden Joko Widodo bersama ketua menteri keselamatan dan menteri luar itu sebagai menghantar mesej paling keras kepada China berhubung isu itu.

“Dalam sejarah, kami tidak pernah setegas ini dengan China. Ini juga untuk menunjukkan presiden tidak mengambil ringan isu itu,” kata Ketua Menteri Keselamatan, Luhut Pandjaitan kepada The Jakarta Post.

Pada Isnin, Beijing berkata meskipun China tidak mempertikaikan kedaulatan Indonesia terhadap Kepulauan Natuna, “sesetengah perairan di Laut China Selatan” tertakluk kepada “pertindihan tuntutan terhadap hak dan kepentingan maritim”.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi semalam menolak pendirian China, dan berkata perairan di sekeliling Natuna adalah wilayah Indonesia.

Berlaku beberapa siri perselisihan antara kapal Indonesia dan China di kawasan berkenaan tetapi kedua-dua pihak menafikan perkara itu berkait dengan perbalahan wilayah atau diplomatik.

Lawatan presiden Indonesia yang lebih dikenali dengan nama Jokowi ke rantaian pulau terpencil itu, yang merangkumi 340 km di hujung barat laut Kalimantan – bahagian Indonesia di kepulauan Borneo – juga bagi menggalakkan pembangunan infrastruktur di kawasan sempadan Indonesia.

“Kita hendak tunjuk Indonesia ialah negara yang besar dan kita perlu tunjukkan ia secara fizikal,” kata Jokowi dalam satu kenyataan, merujuk kepada cita-cita pembangunan itu.

– Reuters

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.