Jackie Chan, Rajinikanth dalam satu filem keluaran Malaysia

Jackie Chan, Rajinikanth dalam satu filem keluaran Malaysia

Walau bagaimanapun, belum ada sebarang pengesahan dibuat daripada barisan pelakon atau sumber lain.

jackie-chan-rajanikhant

KUALA LUMPUR:
Malaysia mungkin menjadi negara pertama bakal menggabungkan dua ‘superstar’ terhebat Asia, Datuk Jackie Chan dan Rajinikanth menerusi sebuah filem.

Usaha berkaitannya sedang giat dilakukan dan filem ini dijangka memuatkan pelakon Bollywood, Sonam Kapoor sebagai watak utama wanita.

Menurut pengeluar Mohd Rafeezi Mohd Zin, filem yang dinamakan Chini Saga akan berkisar kepada kisah lagenda naga dari Tasik Chini, Pahang.

Berita ini pasti akan membangkitkan keterujaan dalam kalangan peminat Rajinikanth dan Jackie Chan yang merupakan pelakon penerima bayaran tertinggi di Asia.

Walau bagaimanapun, belum ada sebarang pengesahan dibuat daripada barisan pelakon atau sumber lain.

Terdahulu, Sinar Harian mengeluarkan laporan kedua-dua bintang mega itu akan datang bersama dan Rafeezi menafikan berita itu sengaja dibuat-buat.

Malah, Rafeezi akui pihaknya sudahpun menghubungi ketiga-tiga pelakon berkenaan.

Cinema Online pula melapor selain bintang antarabangsa filem itu akan turut melibatkan pelakon Malaysia.

Filem Chini Saga diumumkan empat tahun lalu tetapi ditangguh berikutan masalah dana tidak mencukupi.

Filem itu memerlukan bajet RM20 juta dan Rafeezi berkata beliau berjaya mengumpul dana tersebut.

Penggambaran akan bermula secara berperingkat bermula dari bulan Julai menampilkan 90% kesan CGI serta menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama.

Lokasi penggambaran pula didakwa akan dijalankan di Norway, India, China, Indonesia dan Thailand.

Pengeluar filem itu memberitahu, bajet besar bukan satu isu kerana pihaknya yakin filem itu akan dihasilkan sebaiknya memandangkan ia dirancang ditayang di beberapa negara, termasuk Eropah.

Terkini, peminat Malaysia tidak sabar-sabar menunggu filem Kabali, dibintangi Rajinikanth yang turut dirakam di Malaysia.

Filem ini dialih bahasa dalam bahasa Melayu, sekali gus menjadi filem Tamil pertama ditayangkan dalam bahasa Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.