Wang tebusan RM12j jadi perbualan kerana ia hasil derma

Wang tebusan RM12j jadi perbualan kerana ia hasil derma

Masyarakat tidak akan berhenti berspekulasi mengenai wang yang dikutip untuk membebaskan tebusan sehingga kerajaan beritahu bagaimana wang itu digunakan.

PETALING JAYA:
Tidak mungkin masyarakat akan berdiam diri mengenai RM12 juta yang didermakan untuk membebaskan empat warga Malaysia yang dijadikan tebusan pengganas Abu Sayyaf.

Maka, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed perlu sedar orang ramai tidak akan berhenti berspekulasi mengenai apa yang berlaku keatas wang itu, kata Ahli Parlimen PKR, Wong Chen.

“Sekurang-kurangnya kerajaan perlulah bertanggungjawab dan telus dengan mendedahkan bagaimana wang itu diuruskan. Oleh kerana hal ini telah menjadi menjadi perbualan orang ramai, Nur Jazlan tidak boleh minta rakyat berdiam.

“Sebaliknya, beliau mesti cari siapa yang cuba mengambil kesempatan secara haram daripada pengendalian wang tebusan itu,” kata Wong kepada FMT.

Nur Jazlan dilaporkan meminta orang ramai supaya tidak memanjangkan lagi isu RM12 juta itu, dibimbangi akan mengundang lebih banyak penculikan di masa hadapan.

Wong berkata kebanyakan negara-negara maju tidak mengalakkan rundingan dengan penculik dan pengganas.

Negara-negara berkenaan, bagaimanapun, tidak menghalang warganegara mereka daripada menyelamatkan orang tersayang, tambahnya.

“Dalam hal ini, kerajaan terbabit sama. Maka kerajaan perlu jawab.

“Maka, menteri yang berkenaan perlu tampil ke Parlimen dan membuat pendirian yang jelas dan muktamad berhubung perkara wang tebusan ini.

“Adakah kerajaan mengalakkan pembayaran tebusan? Jika ya, mekanisme apa yang digunapakai untuk menangani jumlah wang tebusan?

“Kita juga mahu tahu samada amalan ini akan menjadi insentif kepada penculik di masa hadapan.”

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy turut bersependapat dengan kenyataan Wong. Beliau berkata tuduhan terhadap polis perlu diselesaikan, lebih-lebih lagi apabila keluarga mangsa bertegas wang tebusan diserahkan kepada anggota Cawangan Khas (SB).

“Banyak kenyataan bercanggah daripada pihak berkuasa. Mana mungkin orang ramai tidak berbual mengenai isu ini seperti yang diminta oleh Nur Jazlan?”

“Tidakkah permintaan itu mengarut? Apa yang perlu mereka lakukan adalah membuka siasatan keatas dakwaan penyelewengan dan menyiasat apa yang sebenarnya berlaku keatas wang itu.

“Orang ramai perlu tahu, antara lain, samada polis benar-benar terlibat atau tidak. Jika ya, nasib baik keempat tebusan itu selamat kembali ke pangkuan keluarga, tetapi bagaimana pula dengan mangsa sebelum ini, dan mereka yang mungkin menjadi mangsa militan itu di masa hadapan?” katanya kepada FMT.

Selain daripada wang yang didermakan orang ramai dan pemilik bot tunda, RM12 juta itu juga hasil penjualan aset milik keluarga tebusan.

Polis menafikan sebarang tebusan dibayar kepada penculik, dan berpendapat mungkin wang diserahkan kepada “pihak ketiga” yang merundingkan pembebasan tebusan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata wang itu disalurkan kepada badan kebajikan di Filipina.

Manila Times, memetik sumber, turut melaporkan kumpulan militan marah kerana hanya RM8.8 juta daripada RM12 juta sampai ke tangan mereka.

Wong Teck Kang, 31; Wong Teck Chii, 29; Johnny Lau Jung Hien; dan Wong Hung Sing, 34 diculik di perairan berhampiran Pulau Ligitan pada 1 April, dalam perjalanan mereka ke Tawau, Sabah dari Filipina.

Mereka dibebaskan 8 Jun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.