Bekas presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Mohd Khalid Harun, bagaimanapun memberitahu FMT cadangan AirAsia menjenamakan semula klia2 tidak salah.
Ini kerana, menurutnya, klia2 sememangnya sebuah lapangan terbang tambang murah dan ini perlu ditonjolkan pada namanya.
“Tidak ada salah bagi AirAsia membuat cadangan demikian, tetapi ia sepatutnya dibuat dari awal lagi,” katanya sebagai respon pengumuman AirAsia untuk merujuk klia2 sebagai LCCT2 dalam laman webnya.
Khalid berkata walaupun langkah syarikat penerbangan tambang murah itu boleh mengelirukan penumpang, tetapi ia terhad kepada penumpang AirAsia.
“Sekiranya AirAsia meneruskan hasratnya, ia perlu menjelaskan kepada pelanggannya yang LCCT2 terletak di Kuala Lumpur.
“Jika tidak, ada yang tidak tahu di mana LCCT2.”
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar, mengumumkan penggunaan nama LCCT2 dalam laman web dan bahan promosinya.
Aireen berkata AirAsia menyumbang 98% daripada penerbangan di klia2 dan penumpang juga mengiktiraf klia2 sebagai terminal tambang murah.
Penukaran nama itu juga akan menjadi tekanan kepada MAHB supaya menghentikan penafiannya tentang kewujudan AirAsia dan syarikat penerbangan tambang murah serta sumbangannya terhadap pertumbuhan industri penerbangan.
“Kami berusaha keras untuk bekerjasama dengan MAHB dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan dan ia seolah-olah tidak berhasil.
“Ia amat sukar untuk mengatur mesyuarat dengan mereka (MAHB), maka sukarlah bagi kami menyelesaikan sesuatu isu,” kata Aireen.