Majlis buka puasa di gereja cadangan NGO Islam

Majlis buka puasa di gereja cadangan NGO Islam

Cadangan itu dikemukakan Zabariah pada Februari lalu ketika beliau berkongsi kepercayaan dan adat umat Islam dengan paderi gereja Kristian di Kuching.

John-Ha-Tiong-Hock

PETALING JAYA:
Majlis berbuka puasa yang diadakan di sebuah gereja di Kuching minggu lalu sebenarnya cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, menurut ketua biskop gereja Kristian bandar raya itu, John Ha Tiong Hock.

John dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, cadangan itu dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Maklumat Islam Sarawak, Zabariah Matali pada Februari lalu ketika beliau mengadakan dialog berkongsi kepercayaan Islam dengan paderi gereja Kristian di Kuching.

“Kami kagum dengan pemikiran terbuka beliau dan pasukannya, oleh itu kami segera bersetuju dengan cadangan itu,” katanya.

John berkata, sebahagian ahli gereja turut berpuasa bersama rakan Muslim mereka dan ia jelas membuktikan semangat keharmonian agama di Bumi Kenyalang.

Minggu lalu, gambar majlis berbuka puasa di gereja itu tersebar di laman media sosial.

Facebook Sarawak Edition melaporkan majlis itu berlangsung di Pusat Kariah Kristian St Joseph di Kuching dan dihadiri umat Islam setempat.

Manakala menurut Facebook S4S Ari Dayak yang turut berkongsi gambar sama, ia diadakan pada Jumaat lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.