“Terus-terang, orang Cina seperti inilah yang selalu saya puji dan hormat serta diramaikan. Tidak ultra kiasu. Saya tidak label semua Cina ultra kiasu,” tulisnya dalam kolum Sinar Harian hari ini, merujuk kenyataan Lim Kham Hong, pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK).
Dalam nada sama, pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata sikap Lim itu berlawanan dengan sikap MCA yang “ultra kiasu” dan “gatal punggung” kerana menentang pelaksanaan peraturan pemakaian wanita.
Sebelum ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan berkata ia akan memberi kaunseling kepada wanita berpakaian ketat, “menjolok mata” dan seksi.
Ekoran itu, Lee memberitahu FMT pihaknya turut menyokong langkah tersebut.
“Memang tidak sesuai kalau kita (bukan Islam) pakai pakaian menjolok mata di tempat orang ramai, walaupun agama kami tidak melarangnya.
“Sekiranya JAHEAIK menegur bukan Islam supaya berpakaian sopan sekalipun kita terima kerana itu cara menegur orang bukan Islam dengan betul, asalkan ia tidak menyentuh soal agama kami, kami terima,” katanya.
Terdahulu, MCA menyifatkan langkah itu satu bentuk penyalahgunaan kuasa serta menindas hak kebebasan wanita.
Cina Kelantan lebih sensitif
Ridhuan berkata Cina Kelantan lebih sensitif terhadap budaya Melayu tempatan kerana mengamalkan asimilasi dan bukan segregasi.
Menurutnya, MCA lebih gemar mengasingkan diri, dan memberi contoh pemimpin MCA yang tidak pernah berpakaian tradisi Melayu ketika menziarahi rumah pemimpin Umno pada majlis terbuka Hari Raya.
“Saya cabar pemimpin mereka berbaju Melayu dan bertanjak dalam pembukaan Parlimen akan datang atau ketika berkunjung ke rumah terbuka PM sempena hari raya, jika MCA beranggapan bahawa Umno adalah rakan Melayu sejati mereka.
“Pemimpin Umno dan Melayu lain telah tunjukkan keterbukaan dengan berpakaian Cina dan makan bersepit ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina,” tulis Ridhuan yang mengumumkan keluar MCA baru-baru ini.
