Rafizi pula dijangkiti tiga penyakit

Rafizi pula dijangkiti tiga penyakit

Nur Jazlan menyatakan Pakatan Rakyat (sekarang Pakatan Harapan) suatu pembohongan kepada rakyat kerana mereka sendiri tidak boleh bekerjasama.

jazlan-rafizi

PETALING JAYA:
Tidak mahu mengaku kelemahan diri sendiri, suka menyalahkan orang dan tidak terima hakikat, antara tiga penyakit Rafizi Ramli.

Dakwaan itu dilemparkan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai respon kepada kenyataan Naib Presiden PKR yang mengatakan rakyat dideritai dua penyakit iaitu sentimen perkauman atau keagamaan dan penyakit kebendaan sehingga memenangkan BN dalam dua PRK baru-baru ini.

“Sudah terang-terang Pakatan Rakyat (sekarang Pakatan Harapan) suatu pembohongan kepada rakyat kerana mereka sendiri tidak boleh nak bekerjasama.

“Tapi mereka kata diri mereka itu kerajaan alternatif. Sebenarnya mereka berbohong kepada rakyat,” kata Nur Jazlan seperti yang dilapor Sinar Online pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada PRK kali ini BN mengekalkan kerusinya di Sungai Besar dengan meraih undi majoriti sebanyak 9,191 dan di Kuala Kangsar dengan majoriti 6,969 undi, satu peningkatan yang jauh lebih baik daripada pilihan raya umum sebelum ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri juga menambah, angin politik di sesuatu kawasan tidak semestinya kekal, malah BN telah banyak belajar untuk memperbaiki diri ekoran situasi getir dalam pilihan raya sebelum ini di mana pembangkang juga sama-sama kukuh.
Beliau kesal dengan sikap Rafizi yang hanya memilih menyalahkan orang sedangkan partinya sendiri dalam masalah besar.

Manakala dalam kenyataan terdahulu, Rafizi mempersoal jikalau segala keresahan yang disuarakan rakyat selama ini hanya satu kepura-puraan dan langsung tidak diterjemah dalam PRK.

Mengambil kira beberapa isu yang menjadi perhatian misalnya 1MDB, GST dan kenaikan kos sara hidup, Rafizi menegaskan beliau akan mengkaji dan memperhalusi dapatan-dapatan ini di peringkat PKR dan Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.