
Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata bekas perdana menteri itu berpegang kepada prinsip “negara dahulu (nation first)”, dan kesal dengan saranan beberapa pihak supaya beliau berehat dan berhenti dari politik.
“Mereka yang menyebut demikian tidak memahami antara tuntutan politik kepartian dan politik kenegaraan. Tun M tidak berpihak kepada politik kepartian tetapi beliau berpihak kepada kempen ‘Selamatkan Negara’ rentas kepartian.
“Tidak mungkin beliau menyokong calon BN yang penyebab kepada ‘malapetaka’ negara hari ini. Tidak mungkin juga Tun M menyokong calon PAS yang tiada berpendirian malah ‘mesra Najib’ dalam skandal yang melanda negara hari ini,” kata Mujahid dalam kenyataannya hari ini.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana memberikan keunikan kepada kempen sekaligus membawa lembaran politik baharu.
“Saya bagi pihak seluruh jentera Amanah amat menghargai usaha Tun Mahathir dan isteri serta pasukan Deklarasi Rakyat yang berganding bahu bersama Amanah dan Pakatan Harapan untuk Selamatkan Malaysia dalam kempen PRK baru-baru ini. Terima kasih Tun Mahathir!,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir Dr Mahathir supaya terus menyokong pembangkang kerana ia akan menguntungkan BN.
Hari ini, Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut tidak ketinggalan, menasihati pemimpin berusia 91 tahun itu supaya membanyakkan masa di atas tikar sembahyang dan bertaubat.
Sementara itu, Mujahid berkata langkah Dr Mahathir itu tidak berbeza dengan tindakan perdana menteri pertama menyokong pembangkang satu masa dulu.
“Bukan mudah untuk mantan Presiden Umno berbuat demikian, walaupun Bapa Kemerdekaan Tengku Abdul Rahman pernah berkempen atas pentas APU (Angkatan Perpaduan Ummah) satu ketika dahulu atas nama mantan perdana menteri dan mantan Presiden Umno.”