Kuda siapa pula berlari di Kota Bharu?

Kuda siapa pula berlari di Kota Bharu?

Menurut Adli Alimin, kuda itu berlari dari Pasir Pekan di Wakaf Bharu ke Kubang Kerian yang jaraknya kira-kira 10km.

kuda

PETALING JAYA:
Selepas “pengembaraan” Chickaboo di lebuh raya yang menjadikan burung unta itu terkenal dalam sekelip mata, sosial media hari ini muncul dua klip video seekor kuda berlari di Kota Bharu, Kelantan.

Dua rakaman video selama 8 saat dan 29 saat itu dimuat naik ke Facebook Adli Alimin dan sudah dikongsi lebih 8,800 kali manakala di laman Facebook Info Roadblock Jpj/polis pula ia telah ditonton sebanyak 63,000 kali.

Dalam klip video itu, kuda berwarna coklat gelap itu dilihat berlari dengan bebasnya di jalan raya yang dipercayai menuju ke pusat bandar Kota Bharu tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain.

The Star Online memetik Adli sebagai berkata, kejadian itu dirakamkannya ketika beliau dalam perjalanan ke pejabatnya kira-kira jam 10 pagi Ahad.

Menurutnya, kuda itu berlari pada kelajuan kira-kira 80 kmj di jalan raya selama 45 minit.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, ia berlari dari Pasir Pekan di Wakaf Bharu ke Kubang Kerian,” katanya sambil memaklumkan jarak antara dua lokasi itu kira-kira 10km.

Jelasnya, beliau amat risau dengan keselamatan haiwan itu memandangkan ia asyik bertukar laluan dari kiri ke kanan.

“Trafik berhenti di jambatan dari Pasir Pekan ke Kota Bharu. Kuda itu betul-betul berada di hadapan kami, jadi kami perlu berhati-hati supaya tidak terlanggar ia kerana kami tidak tahu macam mana reaksi ia nanti.

“Biasanya kami nampak lembu atau kambing tetapi ini kali pertama saya nampak seekor kuda di jalan raya,” katanya yang percaya pemilik kuda itu pasti sedang mencari haiwan itu.

Terdapat beberapa kandang kuda di Pasir Pekan dan sehingga kini ia masih menjadi misteri bagaimana kuda itu boleh melarikan diri.

Tidak pasti jika kejadian ini adalah perbuatan yang disengajakan untuk cuba meniru “pengembaraan” selebriti Chickaboo di Lebuhraya Persekutuan pada Khamis lalu.

https://www.youtube.com/watch?v=IT0Kd0ncYQ4

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.