Awalkan PRU14 perlu banyak perkiraan

Awalkan PRU14 perlu banyak perkiraan

BN akan membuat analisis mendalam mengenai kemenangan parti itu pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

najib-pru14

KUALA KRAI:
Perdana Menteri menegaskan, banyak perkiraan perlu dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 boleh diadakan.

Datuk Seri Najib Razak berkata demikian sebagai mengulas kemenangan besar BN di PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, semalam.

“Biarlah sehari dua ini kita hayati kemenangan dan seronok sikit, jangan lama sangat seronok kerana banyak tugas yang patut dilakukan untuk kita terus berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat.

“Saya hendak kita jangan terbawa-bawa dengan kemenangan ini, kita mesti bawa sikap rendah diri, sikap mendekati rakyat, sikap rajin membantu rakyat, kalau kita pegang pada prinsip ini, sokongan kepada BN akan terus meningkat,” katanya selepas majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Tapak Maju Ternak, Kampung Staponal, Batu Jong hari ini.

Pengerusi BN itu juga berkata, pihaknya akan membuat analisis mendalam mengenai kemenangan BN pada kedua-dua PRK itu.

Sementara itu, majoriti besar yang diraihkan BN pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam membuktikan rakyat menolak pungutan suara dan Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata, kedua-dua PRK itu menjadi luar biasa kerana pembangkang khususnya Mahathir menjadikannya platform bagi mendapatkan pungutan suara mengenai kepimpinan beliau.

“Dia (Dr Mahathir) berkempen secara terbuka supaya pengundi menolak BN tetapi dengan kemenangan dan peningkatan majoriti berlipat ganda kepada BN, terbukti apa yang disarankan itu ditolak rakyat.

“Kalau pungutan suara Deklarasi Rakyat kononnya dapat banyak pihak menyokong tetapi ia tidak diterjemahkan dalam bentuk Pilihan Raya Negeri Sarawak dan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar,” katanya.

Semalam, BN menang di Kuala Kangsar dengan majoriti 6,969 undi berbanding 1,082 undi pada PRU13 manakala majoriti 9,191 undi pula dicapai di Sungai Besar berbanding majoriti 399 undi pada 2013.

“Kita iktiraf bukan melalui pungutan suara, melalui cara yang tidak sah. Ini kerana tidak ada kesahihan tandatangan (Deklarasi Rakyat) dan sebagainya.

“Cuma yang sah ialah proses mengikut undang-undang negara dan Perlembagaan negara iaitu melalui pilihan raya sama ada pilihan raya umum, negeri dan kecil,” katanya.

Dengan kemenangan itu, Najib berkata kerajaan BN akan meneruskan dasar-dasarnya untuk membawa kemajuan, kemakmuran dan kestabilan negara kepada rakyat.

Ditanya apakah iktibar kemenangan itu kepada Mahathir, beliau berkata: “Lebih kerap Tun Mahathir turun (berkempen), (ia) lebih menguntungkan BN, saya harap beliau jangan berhenti turun (berkempen) lagi.”

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.