Rani, yang mendapat undi paling kurang di Sungai Besar, berkata keputusan Amanah meletakkan Azhar Abdul Shukur sebagai calon memecahkan undi terutamanya di kawasan pengundi Melayu.
“Di awal PAS jangka dapat undi lebih dari Amanah, berdasarkan peti-peti undi kawasan Melayu. Sebab diorang yang sebenarnya pecahkan,” katanya.
BN menerima 18,600 undi, diikuti Amanah 7,609 dan PAS: 6,902.
Rani bagaimanapun berkata kalah pada pilihan raya kecil (PRK) memang dijangka kerana sukar bersaing dengan Barisan Nasional (BN) yang menggunakan jentera kerajaan pusat menyokong calonnya, Budiman Mohd Zohdi.
“Di mana-mana PRK memang susah untuk menang sebab BN akan turunkan semua jentera kerajaan.
“Mereka akan gunakan segala kelengkapan dan wang walaupun kempen benda yang sama. Jadi memang susah kita hendak menang.
“Bermakna kalau kalah sekalipun, saya tidak rasa apa-apa. Sebab dalam Islam kita diajar, kemenangan sebenar adalah di akhirat,” katanya sewaktu ditemui pemberita, di Markas PAS Simpang Lima, hari ini.
ADUN Meru itu juga yakin beliau melakukan yang terbaik bagi bersaing dengan Amanah.
“Bagi saya apa jua keputusan saya suka sebab saya dah buat yang terbaik. Dalam Al-Quran pun diceritakan bagaimana sahabat-sahabat nabi dibunuh, dicaci, tetapi mereka menang di akhirat,” jelasnya.
Peratusan keluar mengundi pada PRK Sungai Besar ialah 74% berbanding 88% pada pilihan raya umum (PRU) 2013.
PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon, ekoran nahas helikopter di Sarawak.
