Budiman terkejut menang besar di Sg Besar

Budiman terkejut menang besar di Sg Besar

Budiman berjanji akan meneruskan gerak kerja dengan rakyat di Sungai Panjang yang akan diperluaskan ke Sekinchan.

Budiman-Mohd-Zohdi

SUNGAI BESAR:
Calon BN di PRK Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yang optimis boleh menang sejak awal terkejut dengan majoriti besar yang diperolehinya hari ini.

“Kita bermula dengan majoriti 399 undi sebab itu saya selesa sebagai ‘underdog’, tetapi tak sangka boleh menang dengan majoriti begini besar,” jelasnya ketika ditemui di Dewan Seri Bernam, Sabak Bernam sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan meneruskan gerak kerja dengan rakyat di Sungai Panjang yang akan diperluaskan ke Sekinchan.

“Bagaimana saya melayan pengundi Cina di Sungai Panjang begitu juga di Sekinchan.

“Pasar awam di Sekinchan sejak tiga penggal tidak diurus dengan baik, hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan akan dikekalkan,” katanya yang berjanji akan membuka pusat khidmatnya di Sekinchan dalam masa terdekat.

Sekalipun jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka hari ini berkurangan daripada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), BN tetap berjaya meraih kemenangan dengan majoriti lebih besar iaitu 9,191 undi.

Peratusan keluar mengundi di Sungai Besar hari ini ialah 74.4% berbanding 88% pada PRU13 di kawasan Parlimen sama.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Sungai Besar, Mohamad Khairuddin Md Som pada jam 10 malam ini mengumumkan Budiman memperolehi 16,800 undi, manakala calon Amanah, Azhar Abdul Shukur meraih 7,609 undi – lebih banyak daripada calon PAS, Dr Abdul Rani Osman yang sekadar memperoleh 6,902 undi.

Undi rosak pula sebanyak 379 undi.

Pada PRU13, Tan Sri Noriah Kasnon memperoleh 18,695 undi dengan majoriti tipis 399 undi mengalahkan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussain yang meraih 18,296 undi.

Parlimen Sungai Besar mempunyai jumlah daftar pemilih seramai 42,836 orang yang terdiri daripada 67.1% Melayu; Cina (30.68%) dan India (1.91%).

PRK Sungai Besar diadakan berikutan penyandangnya, Allahyarhamah Noriah meninggal dunia ekoran terlibat dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.