Masyarakat Islam sumbang wang, tenaga bina gereja

Masyarakat Islam sumbang wang, tenaga bina gereja

Bagi Hussain, gereja juga merupakan rumah Allah, dan beliau berasa bangga turut sama mempromosi toleransi agama di kampungnya.

pakistani

PETALING JAYA:
Ini kisah benar toleransi agama yang berlaku di sebuah kampung di wilayah Punjab, Pakistan.

Komuniti Islam di Kampung Khalsabad di Gojra membantu penduduk Kristian di sini membina sebuah gereja, yang musnah pada 2009 ketika berlaku rusuhan agama.

Rusuhan itu tercetus selepas penduduk Kristian dituduh menghina Al-Quran, mengakibatkan serangan yang menyebabkan 10 orang terbunuh. Beberapa kediaman penduduk Kristian turut dibakar manakala empat gereja dimusnahkan.

Tujuh tahun kemudian, lain ceritanya, menurut laporan stesen penyiaran Britain, BBC baru-baru ini.

Umat Islam berduyun-duyun turun membantu memberikan sumbangan wang dan tenaga dalam usaha membina sebuah gereja di kampung itu.

Pemilik kedai, Dilawar Hussain, menyumbang Rs10,000 (RM84) kepada tabung pembinaan gereja selepas diberitahu mengenai projek itu pada April. Seorang lagi menderma Rs30,000, manakala seorang petani memberikan Rs2,000.

Aftab James Paul, pembantu paderi di Gereja St Fidelis di Khushpur yang bertanggungjawab menjalankan kegiatan agama di 56 perkampungan di Khalsabad, menarik nafas lega dengan bantuan penduduk Islam.

“Kami berterima kasih kepada saudara Islam kami di atas keprihatinan ini. Ia membuatkan kami berbangga,” katanya.

Umat Islam di sini bukan sahaja memberi sumbangan kewangan, malah turut sama dalam kerja pembinaan.

Bagi Hussain, gereja juga merupakan rumah Allah, dan beliau berasa bangga turut sama mempromosi toleransi agama di kampungnya.

Aftab berkata ia bukan kali pertama umat Islam membantu dalam pembinaan masjid.

Pada 2005, umat Islam membantu penduduk Kristian membangunkan sebuah rumah ibadat Katolik di Gojra.

“Selepas rusuhan, kami cuba mendekatkan penduduk,” Ijaz Farooq memberitahu BBC.

“Dengan turut sama membina sebuah gereja, kami mahu menunjukkan yang kami bersatu hati sebagai satu komuniti.”

Seorang penduduk Kristian, Faryal Masih, berkata kedua-dua penganut di kampungnya sudah sekian lama hidup aman.

“Saya berdoa peristiwa Gojra tidak lagi berulang.

Dengan bangunan baharu yang didirikan itu, penduduk Kristian tidak perlu lagi menyewa bangunan bagi tujuan sambutan Krismas, Easter dan upacara lain.

“Saya pada mulanya tidak percaya apabila pemimpin masyarakat Islam memberitahu mereka akan membina sebuah gereja,” kata Faryad. “Impian kami kini menjadi kenyataan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.