Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata, ini kerana Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kalangan akar umbi Umno.
“Kita dapat lihat dalam program di Manong semalam di mana kebanyakan yang hadir adalah veteran dan pemimpin Umno akar umbi tempatan.
“Malah, mereka juga mempunyai pengikut yang ramai dalam kalangan ahli Umno. Maka ia pasti akan dapat membawa undi mereka kepada Amanah,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut mensasarkan 40% daripada 22,496 pengundi Melayu di kawasan Parlimen ini akan mengundi Amanah.
Sepanjang tempoh berkempen yang bermula 5 Jun lalu, Mahathir turun dua kali ke Kuala Kangsar.
Khabar angin juga bertiup kencang mengatakan pencalonan Datin Mastura Mohd Yazid tidak disenangi oleh pihak di dalam Umno sendiri sehingga dijangka mengganggu perjalanan kempen BN.
Dalam pada itu, calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli dalam sidang media berkata beliau yakin partinya mampu mencipta kejutan dengan memenangi PRK ini.
“Di peringkat akhir kempen, kami akan lebih teliti bagi memastikan apa sahaja rancangan kita akan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
Termizi berhadapan dengan Datin Mastura Mohd Yazid (BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Izat Bukhari Ismail Bukhari (Bebas).
Kawasan Parlimen Kuala Kangsar memiliki 32,949 pengundi berdaftar iaitu 22,496 (Melayu), 7,757 (Cina), 2,287 (Indian), 330 (Orang Asli) dan 29 (Bumiputera Sabah dan Sarawak).