Rafizi berkata demikian ketika menjawab tuduhan bahawa beliau takut untuk berbuat demikian ketika Pegawai Khas Isteri Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor datang ke sidang medianya semalam, tetapi dihalang masuk.
“Malam ini (semalam) habis TV3 kata saya penakut, tak berani berdepan dengan Rizal. Sampai Datuk Seri Zahid Hamidi pun (komen).
“Saya tidak takut, tetapi buat apa berdepan dengan pegawai yang tugasnya angkat beg tangan Rosmah. Kalau nak debat tiada masalah, syaratnya dengan Rosmah sendiri,” katanya pada program ceramah di Jalan Daeng Selili, malam tadi.
Ketika sidang media sebelumnya, berlaku kekecohan apabila petugas Amanah menghalang Rizal daripada naik ke pusat operasi Amanah – tempat sidang media tersebut diadakan.
Minggu lalu, Rafizi memulakan siri dakwaannya berhubung penggunaan jet peribadi yang disewa kerajaan bagi Rosmah menghadiri satu majlis di Istanbul pada 27 Mei.
Malah ketika ceramah semalam, hadirin dikejutkan dengan gimik apabila sebuah replika jet tertera angka ‘RM2.6B’ mendarat sebaik saja Rafizi mula berucap.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata jet itu lambang pembaziran pemimpin negara tatkala rakyat Malaysia terhimpit dengan masalah ekonomi.
“Sudah seminggu lebih saya bercakap tentang isu ini, sebab inilah bagaimana wang rakyat dibazirkan ketika rakyat sendiri susah.
“(Kalau) terangkan tentang 1MDB rumit dan payah. Jet ialah lambang betapa hina kita rakyat di mata BN,” katanya.
Rafizi juga sekali lagi mendesak calon BN Datin Mastura Mohd Yazid agar menyatakan pendiriannya berhubung dakwaan itu.
“Saya bersimpati terhadap beliau, tetapi beliau perlu menyatakan pendirian beliau (berhubung perkara ini).
“Jika kita tidak menghantar wakil rakyat yang betul ke Parlimen, maka budaya membazir ini akan berterusan,” katanya.