Sindiket pengedaran dadah kini menjadikan kebun berkenaan sebagai markas memproses 274 kilogram syabu bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Taktik itu bagaimanapun terbongkar susulan tangkapan lapan suspek termasuk dua warga Iran serta rampasan dadah tersebut oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua suspek berumur dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di Perak dan Selangor.
“Serbuan pertama dibuat semalam di Behrang dan Tanjung Malim. Kami menahan lima lelaki termasuk dua warga Iran di kebun itu yang terdapat kontena dijadikan makmal memproses dadah.
“Ketika serbuan dibuat, kelima-lima suspek sedang leka memproses dadah tanpa menyedari kehadiran polis dan turut dirampas adalah ketulan kristal dan cecair disyaki syabu seberat 274 kg yang dianggarkan bernilai RM27 juta,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata, kesemua lima suspek itu positif dadah dengan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.
Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM42,300 serta empat kenderaan.
Susulan penahanan itu, polis menahan tiga lagi suspek lelaki yang merupakan anggota sindiket itu di Ulu Bernam, Klang dan Ampang, Selangor semalam.
Ditanya mengenai penglibatan dua warga Iran dalam sindiket itu, Mohd Moktar berkata, mereka diupah suspek tempatan untuk bertindak sebagai ‘ahli kimia’ bagi menyediakan dadah.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari mulai semalam sehingga Selasa depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan statistik sejak 2011, seramai 21 daripada 31 ahli kimia haram yang ditahan terdiri daripada warga Iran.
– BERNAMA